MALAYSIA

Singapura bentang pindaan untuk tingkatkan keselamatan tenaga

Bernama 07/08/2024 | 00:20 MYT
Kerajaan Singapura akan menubuhkan Dana Tenaga Masa Depan di bawah Pihak Berkuasa Pasaran Tenaga, dengan suntikan awal sebanyak S$5 bilion.
SINGAPURA: Kementerian Perdagangan dan Perindustrian Singapura telah mengemukakan rang undang-undang pindaan untuk meningkatkan ketahanan tenaga kepada Parlimen untuk bacaan pertama pada Selasa, lapor Xinhua.

Rang Undang-Undang Langkah Peralihan Tenaga dan Pindaan Lain memperkenalkan pengawal selia baharu bagi pasaran elektrik, langkah-langkah untuk mengukuhkan peraturan ke atas sektor tenaga dan penubuhan dana peralihan tenaga.

Kerajaan akan menubuhkan Dana Tenaga Masa Depan di bawah Pihak Berkuasa Pasaran Tenaga, dengan suntikan awal sebanyak S$5 bilion (US$3.8 bilion) untuk menyokong pelaburan bagi peralihan tenaga Singapura, menurut rang undang-undang itu.

Rang undang-undang itu juga menyatakan bahawa Entiti Gas Pusat akan ditubuhkan untuk mengagregatkan permintaan gas daripada syarikat penjanaan tenaga dan memusatkan perolehan gas untuk sektor tenaga.

Rang undang-undang itu juga akan memberi kuasa kepada Pihak Berkuasa Pasaran Tenaga untuk melaksanakan catuan kuasa semasa kecemasan untuk mengekalkan kestabilan sistem tenaga.

-- BERNAMA



#Singapura #Rang Undang-Undang #tingkat ketahanan tenaga #Dana Tenaga Masa Depan