Singapura telah menerima bekalan barangan dari Malaysia seperti jaminan yang diberikan oleh Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa, ketika Perintah Kawalan Pergerakan di Malaysia mula berkuat kuasa hari ini.

"Saya gembira apabila mendapati bekalan makanan segar tidak terjejas sepenuhnya dan kebanyakan pemborong dan peruncit kami menerima barangan mereka seperti biasa sejak pagi tadi," kata Menteri Perdagangan dan Industri republik itu, Chan Chun Sing.

Dalam catatan di laman Facebooknya hari ini, Chan berkata barangan lain seperti farmaseutikal dan lampin pakai buang bayi turut sampai ke Singapura.

Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dalam catatan di laman Facebooknya pada Selasa berkata beliau diberi jaminan mengenai perkara itu menerusi perbualan telefon dengan Muhyiddin.

Pada Isnin, Muhyiddin mengumumkan bahawa Malaysia akan menguat kuasa Perintah Kawalan Pergerakan mulai 18-31 Mac bagi memerangi COVID-19.

Chan berkata beliau juga bercakap dengan rakan sejawatnya dari Malaysia iaitu Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini.

"Saya berterima kasih kepada beliau kerana memudahkan aliran pergerakan barangan dan bekalan ke Singapura dalam tempoh ini dan memberitahu beliau bahawa kita akan terus bekerjasama rapat dengan Malaysia untuk mengurangkan penularan COVID-19.

"Kami sedia maklum mengenai kepentingan bersama untuk memastikan rantaian bekalan akan terus kukuh dan berjalan dengan baik, dan kami bersependapat dalam mengekalkan keyakinan rakyat dan perniagaan agar berjaya mengharungi cabaran yang dialami akibat COVID-19," katanya.

Chan berkata beberapa syarikat di Singapura telah mengaktifkan pengaturan pengangkutan alternatif menerusi kargo laut dan udara untuk membawa barangan dari Malaysia ke republik itu.

"Agensi-agensi ekonomi kami juga bekerjasama dengan syarikat-syarikat, khususnya dalam menguruskan produk dan perkhidmatan yang diperlukan bagi mengurangkan gangguan ke atas bekalan," katanya.

Mengenai pekerja yang terjejas, Chan berkata kebanyakan syarikat mendapat kemudahan penginapan yang diperlukan untuk pekerja-pekerja Malaysia yang akan tinggal di Singapura untuk tempoh dua minggu akan datang agar terus berkhidmat di republik itu.

"Ia bukanlah keputusan yang mudah bagi mereka meninggalkan rumah dan keluarga untuk berada di Singapura sepanjang tempoh ini. Kami berterima kasih kepada pekerja Malaysia yang sanggup berkorban bagi memastikan operasi perniagaan dan perkhidmatan penting di Singapura dapat diteruskan,"katanya.

Kerajaan Singapura akan menyediakan sokongan kewangan sebanyak S$50 untuk 14 malam kepada majikan di negara itu bagi setiap pekerja yang terjejas oleh Perintah Kawalan Pergerakan Malaysia.

-- BERNAMA