KUALA LUMPUR: Selain mengukuhkan kerjasama sedia ada, Singapura-Malaysia perlu meneroka kerjasama dalam mempertingkat kelestarian, menangani isu perubahan iklim termasuk ekonomi digital.

Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon memaklumkan memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani berhubung ekonomi digital, ekonomi hijau dan keselamatan siber semasa lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Januari lalu merupakan permulaan positif.

“Singapura juga berminat untuk menyumbang kepada usaha pemuliharaan Malaysia manakala MOU juga telah ditandatangani antara NParks dan Majlis Biodiversiti Pahang mengenai Kerjasama dalam Pemuliharaan Flora dan Hidupan Liar pada Jun tahun ini,” katanya dalam ucapannya di majlis sambutan Hari Kebangsaan Singapura ke-58 di Hotel Shangri-la pada Rabu.

Dalam masa sama, pihak agensi Singapura dan Malaysia turut bekerjasama menambah baik aliran pergerakan rakyat dalam proses mempercepat urusan imigresen di pusat pemeriksaan Johor-Singapura.

Dalam pada itu, Vanu Gopala memaklumkan ada kemajuan dalam projek Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura yang dijadual siap pada 2026.

Sementara itu, beliau berharap rakyat Singapura dan Malaysia terus mencari peluang untuk berinteraksi, bekerjasama dan belajar antara satu sama lain menuju ke arah impian masa depan lebih baik.

“Seperti yang dikatakan oleh Presiden Halimah Yacob semasa lawatan pada Mac, apa yang Singapura dan Malaysia boleh capai bersama hanya terhalang oleh imaginasi dan kehendak politik,” katanya.