MALAYSIA

SIPP-YTL JV sumbang Laman Rel Mahkota Kluang, simbol penghargaan buat rakyat

Astro Awani 23/08/2025 | 07:37 MYT
Sultan Ibrahim hari ini berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Laman Rel Mahkota di Stesen Kereta Api Kluang. - Foto Infoscreen
KUALA LUMPUR: Perasmian Laman Rel Mahkota di Kluang, Johor, yang disempurnakan oleh Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini telah ditaja dan disumbangkan oleh SIPP-YTL JV, selaku kontraktor utama tempatan Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru.


Ringkasan AI
  • Dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, taman sepanjang 2.8km ini dibina di bawah jajaran Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru.
  • Bersempena ulang tahun ke-70 YTL Corporation Berhad, menjadikan projek ini sebagai simbol penghargaan kepada masyarakat Kluang dan identiti bandar itu sebagai 'Bandar Kereta Api' sejak 1909.
  • Taman ini menggabungkan elemen warisan dan moden, termasuk papan tanda lama, landasan, pondok hentian dan jambatan pejalan kaki, menjadikannya perintis kepada taman rel moden negara.


Pengarah Urusan SIPP-YTL, Datuk Seri Yeoh Seok Hong berkata, projek berkenaan merupakan infrastruktur bertaraf dunia dan inisiatif projek program tanggungjawab sosial korporat (CSR), sempena ulang tahun ke-70 Kumpulan YTL Corporation Berhad.

"Sebagai syarikat tempatan bersama-sama dengan syarikat-syarikat Johor, SIPP-YTL berbesar hati dapat menyumbang kepada projek infrastruktur bertaraf dunia ini dengan kepakaran SIPP-YTL," katanya dalam kenyataan tersebut.

Jelas beliau lagi, Laman Rel Mahkota menjadi simbol penghargaan kepada masyarakat Kluang serta pengiktirafan kepada identiti bandar itu sebagai “Bandar Kereta Api” sejak 1909.

Selain itu, katanya ia juga perintis taman rel moden negara dan ruang yang menyatukan warisan dengan wajah moden untuk dinikmati hari ini dan diwarisi generasi akan datang.

Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Laman Rel Mahkota di Stesen Kereta Api Kluang.

Keberangkatan Seri Paduka Baginda ke laman itu turut diiringi Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Laman Rel Mahkota adalah sebuah taman awam ikonik sepanjang 2.8 kilometer (km) yang dibangunkan bawah jajaran 'viaduct' Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru.






#Sultan Ibrahim #SIPP-YTL JV #Laman Rel Mahkota di Kluang #Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru