MALAYSIA

SIRIM QASEH perkasa kesedaran kelestarian melalui program pembersihan pantai

Yasmin Natasha 11/11/2025 | 07:30 MYT
SIRIM Qaseh menyumbangkan tong sampah kitar semula bagi kegunaan orang awam di Pantai Batu Laut, Tanjong Sepat. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR : Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) menganjurkan program pembersihan pantai menerusi inisiatif SIRIM QASEH di Pantai Batu Laut, Tanjong Sepat, bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menjaga alam sekitar dan memupuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan kakitangannya.


Ringkasan AI
  • Program pembersihan pantai SIRIM QASEH di Pantai Batu Laut, Tanjong Sepat, digerakkan untuk meningkatkan kesedaran kakitangan tentang kepentingan menjaga alam sekitar dan memupuk semangat kesukarelawanan.
  • Seramai 50 kakitangan SIRIM menyertai aktiviti gotong-royong pembersihan pantai bagi meningkatkan kesedaran mengenai pencemaran plastik di kawasan pantai, dengan berjaya mengutip 200-300 kilogram sisa buangan.
  • Inisiatif SIRIM QASEH merupakan sebahagian daripada komitmen SIRIM QAS International dalam amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) serta memastikan kelestarian alam sekitar diterjemahkan melalui tindakan yang memberi impak positif.


Program yang bertemakan “Kelestarian Untuk Masa Depan” itu turut memberi pendedahan kepada peserta mengenai situasi pencemaran plastik yang semakin membimbangkan di kawasan pantai.

Seramai 50 kakitangan SIRIM yang terlibat menyertai aktiviti gotong-royong pembersihan pantai bagi meningkatkan kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar, khususnya berkaitan isu pencemaran plastik dan sisa buangan di kawasan persisiran pantai.

Menurut Pengurus Besar Kanan, Jabatan Pemasaran dan Pengalaman Pelanggan, Aminudin Abd Aziz, aktiviti ini bukan sahaja memfokuskan usaha pembersihan fizikal, tetapi juga sebagai platform pendidikan dan pembentukan sikap dalam kalangan warga kerja.

“Fokus utama adalah membersihkan kawasan pesisir pantai daripada sisa plastik dan bahan buangan.

“Melalui usaha bersama ini, kami berjaya mengutip dianggarkan 200 hingga 300 kilogram sisa buangan. Selain aktiviti pembersihan, program ini turut menjadi platform untuk memupuk kesedaran dalam kalangan warga kerja tentang pentingnya tanggungjawab terhadap alam sekitar,” katanya.

SIRIM QASEH perkasa kesedaran kelestarian pembersihan pantai


Dalam pada itu, Nur Hafizah Mohd Nor dari Bahagian Sumber Manusia berkata, beliau terkejut melihat jumlah sampah yang banyak terutama plastik yang ditemui sepanjang aktiviti pembersihan tersebut.

“Saya macam tidak sangka, terlalu banyak sampah sarap, banyak plastik-plastik. Selama ini nampak di luaran sahaja, tapi bila kita turun sendiri, kita nampak ramai sebenarnya buang sampah terutama plastik. Jadi, memang kita kena bersihkan untuk menjaga alam sekitar kita,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Akaun Bahagian Perkhidmatan Pelanggan, Mohd Fahim Mahmud berharap program seumpama itu dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk tidak membuang sampah merata-rata.

“Saya harap dengan adanya inisiatif ini, orang ramai dapat kesedaran tentang penjagaan pantai,” ujarnya.

Bagi Perunding dari Jabatan Perkhidmatan Korporat, Abdul Razak Ibrahim, program pembersihan pantai ini bukan sahaja memberi ruang kepada sukarelawan untuk membantu masyarakat, tetapi juga membuka mata tentang keadaan sebenar kawasan pantai yang tercemar.

Inisiatif SIRIM QASEH merupakan sebahagian komitmen berterusan SIRIM QAS International terhadap amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), khususnya dalam memelihara alam sekitar dan kesejahteraan komuniti setempat.

Program tersebut turut mencerminkan usaha syarikat untuk memastikan kelestarian bukan hanya menjadi slogan, namun diterjemah melalui tindakan yang memberi impak nyata.





#Sirim #CSR #SIRIM QASEH #pembersihan pantai