MALAYSIA

SIS Forum: Peguam seru kreativiti, konsultasi dalam fatwa

Azyyati Ahmad 26/06/2025 | 03:45 MYT
Yusfarizal turut menekankan keperluan pihak berkuasa agama untuk lebih proaktif dalam penguatkuasaan. - Foto Facebook/Yusfarizal Yussoff
KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes membabitkan SIS Forum Malaysia harus diterima secara realistik dan dijadikan asas kepada pembaharuan proses penggubalan fatwa di masa hadapan.
Demikian pandangan Peguam Bela dan Peguam Cara, Yusfarizal Yusoff yang menegaskan perlunya kreativiti dan konsultasi undang-undang dalam menyusun semula pendekatan institusi fatwa pasca keputusan penting ini.
“Pertamanya, secara realiti dan praktikal, kita perlu mencari jalan bagaimana untuk menerima keputusan ini dan bergerak ke hadapan dengan pernyataan yang lebih relevan, lebih selari dengan keputusan ini… perlu ada kreativiti dan perundingan bersama pakar undang-undang dalam merangka fatwa yang sejajar dengan keputusan mahkamah,” ujar Yusfarizal dalam temu bual bersama Astro AWANI.
Mengulas lanjut, beliau turut menekankan keperluan pihak berkuasa agama untuk lebih proaktif dalam penguatkuasaan, dengan tumpuan khusus terhadap individu-individu yang dipercayai menyebarkan fahaman yang bertentangan dengan ajaran Islam.
“Kalau sebelum ini penguatkuasaan lebih tertumpu kepada syarikat dan aktivitinya, kini kena lebih proaktif mencari individu-individu yang membawa fahaman itu, serta mengumpulkan bukti terhadap individu sebelum dikenakan tindakan atau pertuduhan di Mahkamah Syariah,” katanya.
Yusfarizal mengakui pendekatan ini tidak mudah dan memerlukan tenaga kerja yang lebih besar, namun ia penting demi mempertahankan institusi fatwa yang menjadi sumber hukum utama kepada umat Islam.
“Saya fikir ini perlu dilakukan segera - kerana masyarakat Islam masih sangat memerlukan bimbingan dalam memahami hukum-hukum syarak,” tegasnya.
Keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan fatwa oleh pihak berkuasa agama Selangor terhadap SIS Forum Malaysia menimbulkan implikasi besar terhadap bagaimana fatwa dikeluarkan dan dikuatkuasakan terhadap entiti berdaftar dan bukan individu secara langsung.
#pembaharuan proses penggubalan fatwa #SIS Forum Malaysia #Yusfarizal Yusoff #mahkamah syariah