Sisi gelap Sentul semakin pudar, terima kasih polis

Bernama
Ogos 13, 2020 07:40 MYT
Shanmugamoorthy yakin mendidik masyarakat tentang pencegahan jenayah selain memupuk kesedaran terhadap kegiatan jenayah terkini di kawasan kejiranan adalah penting bagi membanteras jenayah. - Foto BERNAMA
Polis Sentul mencatatkan banyak pencapaian membanggakan selama ini dalam usahanya untuk mengubah imej daerah itu yang pada satu ketika dahulu terkenal dengan kegiatan jenayah dan gengsterisme.
Angka yang direkodkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul adalah cerminan kejayaan dengan jumlah kes jenayah mencatatkan penurunan saban tahun termasuk 1,139 kes untuk tahun ini setakat Ahad lepas berbanding 2,513 kes sepanjang tahun lalu.
Tahun ini juga setakat Ahad lepas, Sentul hanya merekodkan 10 kes pembunuhan dengan selebihnya adalah kes rompakan bersenjata, pemerasan dan kecurian kenderaan.
Ketua Polis Daerah Sentul, ACP S. Shanmugamoorthy Chinniah berkata, pencapaian itu adalah hasil pendekatan '2E' iaitu Penguatkuasaan dan Pendidikan yang diterapkan oleh polis daerah.
Shanmugamoorthy yang menerajui IPD Sentul sejak dua tahun lepas yakin mendidik masyarakat tentang pencegahan jenayah selain memupuk kesedaran terhadap kegiatan jenayah terkini di kawasan kejiranan adalah penting bagi membanteras jenayah.
Menurutnya, pendekatan 2E dimulakan dengan anak buahnya sebelum diterapkan dalam kalangan 1.3 juta penduduk di daerah itu yang turut meliputi Kepong dan Jinjang.
"Perlu ada hubungan yang baik di antara orang awam dan anggota polis iaitu beramah mesra dengan mereka dan layani mereka seperti rakan dan salurkan maklumat yang berkaitan. Ini akan mendorong mereka berkongsi perasaan yang sama terhadap perjuangan kita," katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama baru-baru ini.
Menurutnya, didikan diberikan antaranya menerusi sesi dialog yang sering diadakan bersama penduduk, khususnya di kawasan "panas".
Bagaimanapun, Shanmugamoorty mengakui, anak buahnya berdepan banyak cabaran memandangkan Sentul merupakan daerah yang besar dan didiami sebilangan besar warga asing.
Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dikuatkuasakan di Pasar Borong Kuala Lumpur dan Pasar Borong Selayang mendedahkan keseriusan isu warga asing di kawasan tersebut, termasuk pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Shanmugamoorthy berkata, kira-kira 14,000 warga asing di kedua-dua pasar borong itu adalah pemegang kad UNCHR namun ada antara mereka memiliki kad UNCHR palsu dan melakukan jenayah.
"Setakat ini keadaan adalah terkawal dan selepas PKPD ditamatkan, ada perubahan ketara yang berlaku berbanding sebelum ini kerana ramai warga asing telah ditahan," katanya. - BERNAMA
#kecurian kenderaan #Ketua Polis Daerah Sentul #pemerasan #rompakan bersenjata #Sentul #Shanmugamoorthy Chinniah #sisi gelap Sentul #terima kasih polis