[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Sistem DEEP diperluas kepada semua Ketua Perkhidmatan dan Ketua Jabatan agensi awam - KSN

Shafiqa Azami 10/09/2025 | 11:22 MYT
Menurut Shamsul Azri, Skuad Pemantau ARPA akan ditubuhkan untuk memantau kualiti perkhidmatan dan pematuhan peraturan. - Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Penggunaan Sistem Penilaian Prestasi Demerit (DEEP) akan diperluaskan kepada semua Ketua Perkhidmatan dan Ketua Jabatan pekhidmatan awam mulai tahun hadapan.


Ringkasan AI
  • Pelaksanaan DEEP diperluas kepada semua Ketua Perkhidmatan dan Ketua Jabatan agensi awam mulai tahun hadapan, bukan sekadar Ketua Setiausaha.
  • Tujuan DEEP adalah meningkatkan tadbir urus dan prestasi perkhidmatan awam, selaras dengan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA), bukan untuk menghukum.
  • Skuad Pemantau ARPA akan ditubuhkan untuk memantau kualiti perkhidmatan dan pematuhan peraturan, diterajui oleh JPA bersama PACU, MPC dan Pantau MADANI.


Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, langkah itu bukanlah untuk menghukum.

"Pelaksanaan DEEP bukanlah untuk menghukum sesiapa tetapi untuk menambah baik perkhidmatan kepada rakyat.

"Sebelum ini, pelaksanaan DEEP hanya kepada Ketua Setiausaha setiap agensi kerajaan, namun kini ia akan diperluaskan kepada Ketua Pengarah (Ketua Perkhidmatan dan Ketua Jabatan setiap agensi awam)," katanya.

Jelasnya ia bagi memastikan tadbir urus yang lebih baik dan peningkatan prestasi yang menyeluruh dalam setiap peringkat perkhidmatan awam selaras dengan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA).

Susulan pelaksanaan DEEP, Skuad Pemantau atau Flying Squad ARPA akan ditubuhkan sebagai langkah pemantuan dan menilai kualiti perkhidmatan yang berkesan.

Pasukan ini berperanan menjalankan pemantauan bagi menilai kualiti perkhidmatan, tahap pemantauan peraturan, serta mengumpul maklumat mengenai inisiatif yang dilaksanakan kerajaan.

Beliau berkata lagi, pelaksanaan Skuad Pemantau ARPA ini akan diterajui bersama oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Pejabat Perdana Menteri, Produktiviti Malaysia (MPC) dan Unit Pantau MADANI.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat di Simposium Penilaian Strategik Setahun Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA), di sini pada Rabu.

Turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.





#deep #perkhidmatan awam #Ketua Jabatan Perkhidmatan #Shamsul Azri Abu Bakar