KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan melaksanakan peluasan sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR) secara bersepadu ke seluruh negara melalui 'cloud deployment' atau penggunaan pengkomputeran awan pada 2026.

Timbalan Menteri berkenaan Lukanisman Awang Sauni berkata ketika ini KKM sedang melaksanakan projek perintis EMR di Negeri Sembilan yang melibatkan peluasan sistem EMR secara penggunaan awan itu ke semua fasiliti KKM, pembangunan platform perkongsian maklumat kesihatan bersepadu dan perluasan integrasi ke semua fasiliti KKM serta pembangunan klinik virtual di negeri itu.

"Melalui projek perintis EMR di Negeri Sembilan, kerajaan akan berupaya menguruskan risiko pelaksanaan inisiatif EMR seperti faktor ketersediaan fasiliti termasuklah bekalan elektrik, ketersediaan infrastruktur ICT dan lain-lain keperluan naik taraf fasiliti.

"Selain itu, dasar berkaitan perkhidmatan yang terlibat dapat diperkukuhkan dan juga lain-lain keperluan seperti penambahan sumber manusia dan peningkatan tahap kompetensi terhadap sistem EMR," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Senator Dr A. Lingeshwaran yang ingin tahu mengapa perlu menunggu sehingga 2026 untuk memulakan inisiatif EMR sedangkan banyak negara telah mempunyai sistem tersebut dan mengapa projek perintis masih diperlukan.

Lukanisman berkata inisiatif EMR telah dilaksanakan sejak Rancangan Malaysia Ke-Enam melalui pelaksanaan sistem maklumat pesakit di hospital dan di klinik-klinik kesihatan serta pelaksanaan pelbagai sistem sokongan klinikal seperti sistem maklumat pengimejan, sistem maklumat makmal dan sistem maklumat farmasi.

"Setakat ini, 41 daripada 149 hospital KKM iaitu 27.5 peratus dan 103 daripada 1,086 klinik kesihatan KKM iaitu 9.5 peratus telah mempunyai sistem pengurusan pesakit. Bagi klinik pergigian pula, 31 daripada 704 klinik pergigian KKM iaitu 4.4 peratus telah mempunyai sistem pengurusan pesakit," katanya.

-- BERNAMA