Sistem kesihatan negara masih ada sandaran - Dr Farhan

Faris Danial Razi
Jun 4, 2021 15:07 MYT
Dr Farhan berkata, sistem kesihatan negara masih lagi dapat menampung peningkatan kes. - Gambar fail/ Bernama
KUALA LUMPUR: Sistem kesihatan negara masih mampu bertahan di sebalik kekhuatiran tekanan besar yang dihadapinya akibat peningkatan mendadak kes COVID-19.
Pakar perubatan kesihatan awam, Dr Farhan Rusli berkata fasiliti kesihatan masih mempunyai infrastuktur dan sistem sandaran untuk menampung kes COVID-19 ketika ini.
“Kita masih lagi mempunyai infrastruktur dan sistem sandaran untuk menampung kes-kes tersebut,” jelasnya ketika dihubungi Astro AWANI pada Jumaat.
Sebelum ini Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, pada hujung minggu lalu memaklumkan jumlah katil di hospital COVID-19 dan hospital hibrid COVID-19 bakal ditingkatkan.
Ia akan dilakukan dengan mengenal pasti lebih banyak ruang di dalam hospital untuk ditukar fungsi sebagai katil Unit Rawatan Rapi (ICU) dan menyediakan peralatan perubatan serta kelengkapan lain yang diperlukan.
Menurutnya Hospital Medan ICU di Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang serta cadangan pengambilmilikan sementara Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia juga adalah antara langkah bagi meningkatkan kapasiti ICU, selain bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
#sistem kesihatan #tekanan #sandaran #mampu bertahan #COVID-19 #peningkatan kes #Dr Farhan Rusli