KUALA LUMPUR: Malaysia perlu melakukan pembaharuan dalam sistem kesihatan negara yang bersifat  dikotomi (dichotomous) iaitu pembahagian  antara sektor kesihatan awam dan swasta, ujar Profesor dan Pengarah, Sunway Centre for Planetary Health, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood.

Pembaharuan itu termasuk penetapan harga siling bagi kos perubatan swasta dan menyediakan peruntukan tertentu bagi memastikan setiap pesakit dapat dirawat di kedua-dua fasiliti, awam mahupun swasta terutama ketika kes pandemik COVID-19 memuncak.

"Saya rasa bergerak ke hadapan, kita perlu melihat kepada pembaharuan dalam perkara-perkara yang kita belajar sepanjang peningkatan krisis pandemik iaitu isu kekosongan katil di hospital.

"Langkah paling cepat pada ketika itu ialah menempatkan pesakit bukan COVID-19 ke hospital swasta. Saya rasa ini adalah inovasi terbaik boleh dilakukan.

"Kementerian Kewangan menyediakan peruntukan dan melaksanakan penetapan siling untuk pelbagai keadaan kesihatan, jadi pesakit boleh pergi ke hospital swasta dan katil hospital boleh dikosongkan untuk pesakit COVID-19," katanya semasa menjadi tetamu SIDC's Business Foresight Forum 2021 (BFF2021) pada Rabu.

Malah katanya, kos perubatan bagi menempatkan pesakit bukan COVID-19 di hospital swasta boleh dibiayai melalui pelaburan dilakukan dalam Insurans Kesihatan Kebangsaan.

"Jadi sekarang, kos untuk melaksanakannya ialah dengan melabur dalam sistem Insurans Kesihatan Kebangsaan. Jadi kita boleh memastikan pesakit akan dapat pergi ke hospital swasta," ujarnya.

Sementara itu, mengenai pembentangan Bajet 2022 pada 29 Oktober ini, Dr Jemilah menyarankan agar Kerajaan terus menumpukan kepada peruntukan kesihatan yang tinggi bagi rawatan pesakit COVID-19 dan bekas pesakit yang mengalami simptom berpanjangan atau 'long COVID'.
 
Dalam masa sama, negara perlu mencari penyelesaian jangka panjang dalam memastikan proses pemulihan pesakit dilaksanakan.  

"Apabila bercakap mengenai pandemik, sudah tentu ada keperluan untuk kita menyediakan peruntukan tinggi untuk kesihatan kerana bukan sahaja kita akan merawat pesakit COVID-19, tetapi juga kita tidak tahu berapa lama lagi COVID-19 ini akan melanda negara.

"Jadi ini adalah situasi di mana bekas pesakit yang mendapat kesan jangka panjang COVID-19. Kita perlu memikirkan apakah pemulihan jangka panjang perlu disediakan untuk industri kesihatan kita," kata Dr Jemilah lagi.