JOHOR BAHRU: Sistem kaedah Kod Respons Pantas (QR) akan mula diguna pakai bagi pelepasan Imigresen di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) bermula 1 Jun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata fasa pertama Sistem Kod QR bagi pelepasan Imigresen di CIQ memfokuskan kepada penumpang bas rakyat Malaysia manakala penunggang motosikal di KSAB menggunakan bukti konsep (POC) selama tempoh tiga bulan sebelum ia diperluaskan kepada pengguna kenderaan persendirian pada fasa kedua; rakyat Singapura (fasa ketiga) dan warganegara lain.

"Dimulakan untuk rakyat Malaysia dahulu kemudian baru diperluaskan kepada yang lain kalau 'bukti konsep' ini berjaya.

"Dengan kod QR ini, maknanya semua rakyat Malaysia yang hendak ke Singapura kena muat turun aplikasi MySejahtera buat masa ini dan satu lagi melalui sistem MyTrip," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media merasmikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kesesakan di Tambak Johor Bil.1 2024 dan sesi lawatan ke Kompleks Imigresen Kastam dan Kuarantin BSI di Bilik Mesyuarat Gambir BSI di sini hari ini.

Turut hadir dalam mesyuarat dan sidang media Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Menangani Kesesakan Tambak Johor berkata pelaksanaan kod QR ini akan mengurangkan tempoh menunggu pengguna bas BSI pada waktu puncak daripada 120 minit kepada 15 minit, manakala tempoh menunggu bas KSAB pula dapat dikurangkan daripada 90 minit kepada 15 minit.

Menurutnya, pengguna motosikal di BSI pula dapat mengurangkan waktu menunggu daripada 40 minit kepada 30 minit, manakala tempoh menunggu pengguna motosikal di KSAB pula dapat dikurangkan daripada 45 minit kepada 30 minit.

Mac lalu, Singapura dilaporkan mengumumkan semua warga asing yang tiba dan keluar dari negara berkenaan dengan menaiki kereta sama ada menerusi pusat pemeriksaan Tuas atau pun Woodlands boleh menggunakan kod QR selain pasport untuk pelepasan imigresen yang lebih mudah dan pantas.

Berdasarkan statistik pada 2023 seramai 116 juta pengembara melalui kompleks CIQ di BSI dan KSAB, manakala sejak Januari tahun ini sehingga 15 Mei, seramai 53.8 juta pengembara dengan purata 398,000 sehari direkodkan.

Fadillah dalam pada itu berkata, mesyuarat yang berlangsung hari ini juga telah bersetuju untuk memperakukan 26 cadangan inisiatif baharu dengan jumlah anggaran peruntukan sebanyak RM130 juta untuk dilaksanakan di Fasa 4.

Katanya, jumlah tersebut akan diperincikan selanjutnya berdasarkan keperluan kos inisiatif dan daripada jumlah tersebut, tujuh inisiatif 'quick win' berjumlah RM1.75 juta akan dilaksanakan segera menggunakan peruntukan sedia ada KDN manakala baki 19 cadangan inisiatif baharu yang lain dengan anggaran jumlah RM128.25 juta memerlukan permohonan baharu daripada Kementerian Ekonomi.

"Jumlah ini juga akan diperincikan lagi dengan Kementerian Ekonomi dan Mesyuarat mengambil maklum bahawa pelaksanaan inisiatif sedia ada di Fasa 1 telah bermula sejak tahun 2019.

"Bagi status pelaksanaan 21 inisiatif di Fasa 1 yang dilaporkan adalah seperti berikut: 17 inisiatif atau 81 peratus telah siap sepenuhnya; tiga inisiatif atau 14 peratus sedang dilaksanakan dan dijangka siap sepenuhnya pada Februari 2025; dan satu inisiatif atau 5 peratus belum dilaksanakan (masih dalam proses perolehan).

"Bagi pelaksanaan empat inisiatif baharu fasa 2, dua inisiatif telah dilaksanakan manakala dua inisiatif lagi sedang dilaksanakan.

"Bagi pelaksanaan inisiatif baharu Fasa 3, satu inisiatif ditangguhkan iaitu tambahan 44 Sistem Kawalan Sempadan Automatik (MBIKE). Selain itu, dua inisiatif masih dalam proses awal termasuk penyediaan dokumentasi, manakala satu inisiatif berhubung pembinaan pejalan kaki berbumbung di sepanjang Tambak Johor telah digugurkan setelah mendapat pandangan daripada pihak JKR Johor berikutan ruang yang terhad dan kepadatan infrastruktur sedia ada," katanya.

Terdahulu, kira-kira pukul 4.15 pagi tadi, Fadillah mengadakan tinjauan mengejut ke CIQ, BSI, Johor Bahru bagi melihat sendiri proses perjalanan keluar masuk antara Malaysia dan Singapura.

Beliau turut meninjau ruang legar yang menempatkan kedai-kedai dan stesen KTMB sebelum menyusuri laluan pejalan kaki untuk ke pintu keluar ke Singapura serta bahagian pagar automatik pasport, imigresen, sistem pengimbas kastam, bahagian motosikal yang menggunakan sistem MBIKE dan bas.

Beliau juga berkesempatan berjumpa dengan pengguna perkhidmatan awam di BSI dan para petugas serta melihat sendiri bahagian laluan bas serta mengambil gambar menggunakan telefon bimbit.


-- BERNAMA