MALAYSIA
Sistem pengairan infrastruktur kritikal keterjaminan makanan - Mohamad Sabu

Mohamad semasa sidang media WIF4 serta Mesyuarat Kumpulan Penasihat Peringkat Tinggi Ketiga dan Mesyuarat Majlis Eksekutif Antarabangsa ke-76 ICID hari ini. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Sistem pengairan perlu diiktiraf sebagi infrastruktur kritikal untuk keterjaminan makanan, keamanan dan kemakmuran kerana sistem itu masih amat diperlukan dalam berdepan perubahan iklim dan peningkatan permintaan global terhadap air.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata pengairan bukanlah amalan lapuk pada masa lampau tetapi merupakan inti pati masa depan.
"Pertimbangkan fakta ini, hanya 20 peratus daripada tanah yang ditanam di dunia mempunyai pengairan namun ia menghasilkan 40 peratus daripada makanan dunia.
"Dalam al-Quran, Allah mengingatkan kita dalam Surah Al-Anbiya: "Dan kami jadikan daripada air setiap yang bernyawa". Kebijaksanaan abadi ini menekankan realiti bahawa air bukan sahaja asas kehidupan, tetapi juga asas keselamatan, kemakmuran dan keamanan," katanya.Beliau berkata demikian semasa merasmikan pembukaan Forum Pengairan Dunia Keempat (WIF4) serta Mesyuarat Kumpulan Penasihat Peringkat Tinggi Ketiga dan Mesyuarat Majlis Eksekutif Antarabangsa ke-76 Suruhanjaya Pengairan dan Saliran Antarabangsa (ICID) di sini hari ini.
Mohamad turut menegaskan bahawa negara-negara ASEAN mesti mengukuhkan kerjasama rentas sempadan dalam pengurusan air, melabur dalam penyelidikan bersama dan menyeragamkan piawaian dalam pengairan pintar iklim untuk memenuhi permintaan makanan yang semakin meningkat di rantau ini.
"Keterjaminan makanan adalah sesuatu yang kita kongsi bersama. Dengan populasi lebih 600 juta orang, wilayah kita menghadapi peningkatan permintaan makanan, cabaran air di lembangan Mekong dan Chao Phraya serta ancaman kejutan iklim yang semakin meningkat.
"Namun ASEAN juga mempunyai potensi yang sangat besar dengan hampir 90 juta hektar tanah yang mempunyai pengairan, kebanyakannya boleh dimodenkan untuk kecekapan," katanya.
Mengetengahkan agenda domestik Malaysia, beliau berkata di bawah Dasar Agromakanan Negara 2021-2030, kerajaan sedang melaksanakan strategi untuk meningkatkan daya tahan air dan produktiviti.
Beliau berkata Malaysia sedang melaksanakan agenda termasuk memodenkan 200,000 hektar tanah yang mempunyai pengairan dengan sistem digital dan pintar selain mengurangkan kehilangan air bukan hasil sebanyak 15 peratus menjelang 2030 serta memperkenalkan pemantauan berasaskan internet benda (IoT).
Mohamad berkata ini juga termasuk teknologi dron dan pertanian ketepatan serta mengarusperdanakan amalan pengairan pintar iklim.
Pada peringkat global, beliau menegaskan bahawa pengairan adalah penting untuk mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu SDG 2: Sifar Kelaparan, SDG 6: Air Bersih dan Sanitasi serta SDG 13: Tindakan Iklim.
"Malaysia bersedia untuk bekerjasama dengan Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB (FAO), Bank Dunia dan ICID bagi memastikan pengairan diiktiraf sebagai infrastruktur kritikal untuk keamanan, kemakmuran dan daya tahan," katanya.
Beliau juga berkata penganjuran WIF4 oleh Malaysia mencerminkan komitmen negara untuk memperkukuh pengairan sebagai infrastruktur strategik demi masa depan keterjaminan makanan dan air.
"Kami berharap perbincangan ini akan diterjemahkan dalam Deklarasi Bersama dalam kalangan semua ahli, mencerminkan persefahaman dan komitmen bersama.
"Deklarasi seperti itu akan menjadi simbol keazaman kolektif negara, pakar dan pihak berkepentingan untuk memperkukuh pengairan sebagai infrastruktur strategik demi masa depan keterjaminan makanan dan air," katanya.
Acara yang berlangsung selama seminggu di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur dari 7 hingga 13 Sept itu menghimpunkan pakar antarabangsa, penggubal dasar dan pihak berkepentingan untuk membincangkan amalan pengairan mampan bagi keterjaminan makanan dan air global.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami