[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Sistem pengairan penting jamin keselamatan makanan - Mohamad Sabu

Khalis Khadir 08/09/2025 | 10:50 MYT
Mohamad Sabu meninjau ruang pameran selepas merasmikan Forum Pengairan Dunia Ke-4 dan Mesyuarat Majlis Eksekutif Antarabangsa Ke-76 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada Isnin. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Menjelang 2050, pengeluaran makanan dunia perlu ditingkatkan sekurang-kurangnya 50 peratus berbanding kadar sedia supaya dapat menampung populasi global yang dijangka mencecah 9.7 bilion.


Ringkasan AI
  • Menjelang 2050, pengeluaran makanan dunia perlu ditingkatkan sekurang-kurangnya 50% untuk menampung populasi global yang dijangka mencecah 9.7 bilion, dengan ASEAN berdepan cabaran iklim dan kekangan sumber air.
  • ASEAN disaran tingkatkan kerjasama rentas sempadan, melabur dalam penyelidikan bersama dan menyelaraskan piawaian pengairan pintar iklim bagi menjamin keselamatan makanan serantau.
  • Di Malaysia, kerajaan sedang memodenkan 200,000 hektar tanah berpengairan dengan sistem digital dan teknologi pemantauan untuk meningkatkan daya tahan air dan produktiviti menjelang 2030.


Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, realiti itu memberi cabaran besar terutama kepada rantau ASEAN yang berdepan ancaman iklim serta kekangan sumber air.

“Di peringkat ASEAN, keselamatan makanan adalah tanggungjawab bersama. Dengan populasi lebih 600 juta orang, ASEAN berdepan permintaan makanan yang meningkat, cabaran sumber air di Lembangan Mekong dan Chao Phraya serta ancaman kejutan iklim.

“Namun ASEAN juga mempunyai potensi besar dengan hampir 90 juta hektar tanah berpengairan yang sebahagian besarnya boleh dimodenkan untuk meningkatkan kecekapan. Malaysia percaya ASEAN perlu mengukuhkan kerjasama rentas sempadan dalam pengurusan air, melabur dalam penyelidikan bersama dan menyelaraskan piawaian pengairan pintar iklim,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Forum Pengairan Dunia Ke-4 dan Mesyuarat Majlis Eksekutif Antarabangsa Ke-76 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada Isnin.

Acara yang berlangsung selama seminggu sehingga 13 September ini menghimpunkan pakar antarabangsa, penggubal dasar dan pihak berkepentingan untuk membincangkan amalan pengairan mampan bagi keterjaminan makanan dan air global.

Mengetengahkan agenda domestik Malaysia, Mohamad Sabu berkata, di bawah Dasar Agromakanan Negara 2021–2030, kerajaan sedang melaksanakan strategi untuk meningkatkan daya tahan air dan produktiviti.

Ini termasuk usaha memodenkan 200,000 hektar tanah yang mempunyai pengairan dengan sistem digital, memperkenalkan pemantauan berasaskan internet benda dan mengurangkan kehilangan air bukan hasil sebanyak 15 peratus menjelang 2030.



#ASEAN #Mohamad Sabu #Keselamatan makanan #sistem pengairan