Sistem perkhidmatan KWSP pulih sepenuhnya, data ahli tidak terjejas

Bernama
Disember 16, 2022 08:25 MYT
KWSP telah memulihkan sistemnya kepada perkhidmatan penuh selepas mengalami gangguan sementara pada semua salurannya termasuk i-Akaun. - Gambar hiasan/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah memulihkan sistemnya kepada perkhidmatan penuh selepas mengalami gangguan sementara pada semua salurannya termasuk aplikasi i-Akaun KWSP.
Dana persaraan itu dalam satu kenyataan hari ini berkata pembayaran bulan caruman semasa majikan (gaji bulan November) dilanjutkan sehingga 30 Dis, 2022.
"Tiada caj lewat bayaran akan dikenakan bagi caruman gaji November yang dibayar kepada KWSP semasa tempoh lanjutan tersebut," katanya.
KWSP juga memberi jaminan bahawa tiada data ahli, simpanan dan maklumat lain telah terjejas atau dikompromi semasa tempoh gangguan.
KWSP memohon maaf di atas kesulitan yang berlaku.
-- BERNAMA
#KWSP #Kumpulan Wang Simpanan Pekerja #gangguan sementara sistem #i-Akaun