PUTRAJAYA: Sistem telematik bagi kenderaan perdagangan berupaya memantau kelajuan serta tingkah laku pemandu, antaranya pergerakan mata dan corak pemanduan, selain mengesan petunjuk kemungkinan kewujudan pengaruh alkohol atau dadah.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, penggunaan teknologi itu merupakan antara langkah pencegahan yang dirancang kerajaan bagi menangani risiko kemalangan jalan raya, khususnya membabitkan kenderaan perdagangan.
“Dia ada satu sistem, ada satu perisian yang membolehkan kita menjejak, umpamanya melalui aplikasi, pergerakan mata pemandu, tingkah laku dan cara dia memandu.
"Selain itu, berapa kali pemandu membrek, memecut atau tidak dan sebagainya. Semua itu boleh direkodkan dalam sistem telematik," katanya dalam satu sidang media, di sini, pada Isnin.
Tegas Anthony, pendekatan itu penting bagi menangani punca kemalangan dan bukan sekadar bergantung pada hukuman lebih berat selepas sesuatu insiden berlaku.
Dalam perkembangan berkaitan, Anthony berkata pemasangan sistem telematik bagi kenderaan perdagangan akan dilaksanakan secara berperingkat mulai tahun hadapan, sebelum diwajibkan selepas tempoh peralihan yang munasabah.
Katanya lagi, sistem itu masih belum diwajibkan ketika ini dan kerajaan sedang menggunakan pendekatan advokasi bagi menggalakkan pengusaha kenderaan perdagangan menggunakannya secara sukarela.
“Setakat ini saya tegaskan belum ada penguatkuasaan sebab ia belum diwajibkan. Tetapi kita mengambil satu pendekatan advokasi kepada syarikat-syarikat untuk menggunakan sistem telematik ini,” katanya.
Tambah Anthony, pelaksanaan mandatori memerlukan persediaan dan penyesuaian oleh pengusaha, justeru kerajaan tidak akan terus mengenakan penguatkuasaan pada peringkat awal.
Setakat ini, enam vendor telah ditauliahkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menyediakan sistem telematik yang memenuhi piawaian ditetapkan.
Katanya, sistem itu disediakan oleh syarikat swasta dan bukannya dibangunkan secara langsung oleh kerajaan.
Justeru, pengusaha kenderaan perdagangan bebas untuk memilih mana-mana vendor yang telah mendapat tauliah JPJ bagi memasang sistem berkenaan.