Siti Kassim ditahan halang tugas penjawat awam

Bernama
Jun 24, 2018 02:39 MYT
Siti Kassim dikatakan melarikan anaknya ketika sedang menjalani pemeriksaan psikiatri oleh doktor di Hospital Kajang. - Gambar fail
Polis menahan peguam Siti Zabedah Kassim atau lebih dikenali sebagai Siti Kassim malam tadi kerana dipercayai menghalang tugas penjawat awam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat berkata peguam itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang pada 12.40 malam susulan laporan polis dibuat seorang wanita yang mendakwa anak perempuannya berusia 24 tahun dilarikan oleh Siti Kassim pada Khamis lepas.
Siti Kassim dikatakan melarikan anaknya ketika sedang menjalani pemeriksaan psikiatri oleh doktor di Hospital Kajang.
"Laporan polis juga telah dibuat oleh anggota polis yang mengiring wanita (yang berusia 24 tahun) tersebut berhubung kekecohan yang berlaku di wad pemeriksaan ketika Siti Kassim menyerbu masuk walaupun cuba dihalang oleh pengawal keselamatan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Fadzil berkata susulan itu, pasukan polis telah menyelamatkan mangsa dari sebuah rumah di kawasan kondominium di Segambut kira-kira 9 malam tadi.
Beliau berkata pihaknya terpaksa memecah masuk rumah berkenaan kerana mangsa enggan memberikan kerjasama dan menguncikan diri di dalam rumah bagi memastikan dia tidak mencederakan dirinya dan orang lain.
Katanya mangsa telah dihantar semula ke Hospital Kajang untuk menjalani prosedur pemeriksaan yang tertangguh sebelum ini selain membolehkan pegawai penyiasat mendapatkan keputusan doktor.
Katanya kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu menculik dan Seksyen 186 kanun sama iaitu menghalang tugas penjawat awam.
-- BERNAMA
#culik #dilarikan #Fadzil Ahmat #Hospital Kajang #Jabatan Siasatan Jenayah #Kajang #Kanun Keseksaan #kondominium #laporan polis #menghalang tugas #penjawat awam #polis #psikiatri #Segambut #Selangor #siasatan #Siti Kassim #Siti Zabedah Kassim #wad