MALAYSIA

Siti Nurhaliza berduka, Sekolah Afwa Al Aafiyah di Gaza musnah diserang Israel

Saharudin Musthafa 27/09/2025 | 04:17 MYT
Siti Nurhaliza berkongsi berita duka kemusnahan Sekolah Afwa Al Aafiyah di akaun Instagram peribadinya.
KUALA LUMPUR: Tiada apa yang mampu diluahkan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin selain daripada kecewa dan pilu dengan berita kemusnahan Sekolah Afwa Al Aafiyah di Gaza yang menjadi mangsa kekejaman rejim Israel.

Sebaik menerima berita duka itu daripada Pengetua sekolah itu yang juga wakil Yayasan Nurjiwa di Gaza, Dr Mohanad, penghibur tersohor itu tidak dapat menyembunyikan keresahan dan kebimbangan mengenai masa depan anak-anak mangsa peperangan itu.

Sekolah yang diasaskan oleh Yayasan Nurjiwa itu yang selama ini menjadi tempat perlindungan dan pendidikan anak-anak Palestin, musnah dalam serangan terbaru tentera Israel.

Dibangunkan sebelum tercetusnya perang pada 2021, sekolah yang diilhamkan seniwati itu bersama suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa diwujudkan dengan harapan memberi peluang pendidikan serta masa depan lebih baik buat kanak-kanak di Gaza.

Kekejaman itu menyentuh emosi Siti Nurhaliza dan beliau tidak menafikan, tergamam dan tidak menyangka kekejaman sebegini telah meragut kebahagiaan serta memusnahkan masa depan anak-anak kecil di Gaza.

“Berita ini amat mengejutkan dan menyayat hati kami sekeluarga. Namun, kemusnahan ini tidak akan menjadi penamat atau pengakhiran komitmen saya dan Yayasan Nurjiwa dalam menyalurkan bantuan kepada mangsa perang di Gaza,” katanya kepada Astro AWANI ketika dihubungi.


Sekalipun diuji dengan kemusnahan itu, Siti Nurhaliza, 46, berkata, beliau bersama seluruh pasukan Yayasan Nurjiwa akan tetap meneruskan usaha mencari dana untuk disalurkan kepada mangsa peperangan di sana.

“Itu tanggungjawab saya dan pasukan Yayasan Nurjiwa. Kami sudah berikrar untuk terus berdiri bersama rakyat Gaza serta berusaha mencari jalan bagi membina semula harapan yang musnah,” jelas beliau lagi.

Dalam masa sama, yayasan berkenaan menyeru seluruh rakyat Malaysia agar terus mendoakan dan menyokong usaha kemanusiaan demi masa depan anak-anak Gaza.

Yayasan Nurjiwa dalam kenyataan yang dikeluarkan memaklumkan, sekolah tersebut yang selama ini menjadi tempat perlindungan dan pendidikan untuk anak-anak Gaza telah ranap sepenuhnya akibat bedilan kejam yang menyasarkan kawasan awam.

"Serangan terbaru ini bukan sahaja memusnahkan struktur fizikal bangunan, malah turut meragut ruang harapan dan kegembiraan anak-anak yang tidak berdosa," kata kenyataan itu lagi.

Sejak lebih dua tahun lalu, wilayah Gaza di Palestin terus menjadi lapangan berdarah kerana kekejaman tentera Israel yang tidak mengenal erti kemanusiaan.

Perang itu telah meragut puluhan ribu nyawa rakyat Palestin yang tidak berdosa.

Tidak hanya melancarkan serangan demi serangan, rejim Zionis juga memperlihatkan kekejaman mereka dengan menyekat bantuan kemanusiaan dari seluruh dunia.

Ekoran itu, Gaza kini berdepan dengan krisis kemanusiaan dengan jumlah rakyat khususnya kanak-kanak yang mengalami kebuluran semakin meningkat.




#Genosid Gaza #Siti Nurhaliza #Sekolah Afwa Al Aafiyah #Yayasan Nurjiwa