Penyanyi ternama, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin tidak mampu membendung kesedihan dengan pemergian bekas Pegawai Perhubungan Awam (PRO) syarikat rakaman Suria Records (SRC), Bahanordin Deraman ke rahmahtullah pada Ahad malam.

Dalam nada sayu diringi air mata, Siti Nurhaliza mengenang Bahanordin atau lebih mesra disapa Bard sebagai seorang lelaki yang penyayang serta budiman.

Menurut Siti Nurhaliza, sepanjang lebih dua dekad mengenali Bard, Allahyarham tidak hanya sekadar membantu perjalanan karier seninya.

“Bahkan Abang Bard sudah seperti abang dan keluarga Siti. Pemergiannya amat-amat dirasai oleh Siti sekeluarga,” katanya kepada media ketika ditemui di Masjid As-Sobirin, Taman Permata, di sini.

Allahyarham Bard menghembuskan nafas terakhir pada usia 53 tahun akibat komplikasi jantung dan buah pinggang.

Allahyarham meninggalkan sepasang cahaya mata Nur l’ Ain Batrisya, 15, dan Muhammad Rizki Langit Ramadhan, 12.





Bard merupakan antara PRO syarikat rakaman yang terkenal dalam kalangan selebriti dan wartawan hiburan.

Sepanjang perkhidmatannya dengan SRC, Allahyarham Bard sering membantu menguruskan sesi promosi album Siti Nurhaliza, kumpulan New Boyz, Noraniza Idris dan ramai lagi.

Bagi penyanyi utama New Boyz, Tomok pula, Allahyarham Bard merupakan penggiat industri hiburan yang telah menabur banyak jasa pada industri hiburan.

Allahyarham Bard juga antara individu yang banyak membantu kejayaan New Boyz dalam gelanggang muzik.

“Saya tidak mungkin melupakan jasa dan peranan Abang Bard kepada New Boyz. Banyak sejarah dan pengalaman kami bersama arwah.

“Kehilangan arwah bukan saja meninggalkan kesan buat saya bahkan buat rakan-rakan artis yang lain serta wartawan-wartawan hiburan. Allahyarham sangat istimewa,” kata Tomok kepada Astro AWANI.