PELBAGAI rasa sedang bersarang di sanubari Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin apabila memperoleh kesempatan untuk mengadakan konsert di Festival Theatre, Adelaide, Australia pada 18 Oktober ini.

Sekalipun berpengalaman mengadakan persembahan di pentas paling gah di dunia, Royal Albert Hall, London, namun peluang keemasan kali ini juga menuntut fokus yang sepenuhnya.

Dalam masa sama, penyanyi nombor satu negara itu menyifatkan, kesempatan beraksi di Festival Theatre, Adelaide melengkapi hasratnya untuk menghiburkan peminat di luar negara.

Justeru, untuk peluang berharga ini, penyanyi Anta Permana itu mahu mengajak seluruh pencintanya untuk sama-sama berkongsi saat manis.

"Saya sangat teruja untuk mengadakan persembahan di Adelaide. Ini merupakan peluang pertama buat saya menyanyi di sana. Sekalipun berdebar, namun saya bersyukur kerana mendapat sokongan luar biasa daripada peminat-peminat saya," kata Siti Nurhaliza kepada Astro AWANI ketika dihubungi.

Sebetulnya, undangan mengadakan konsert sempena Oz Asia Festival diterima Siti Nurhaliza ketika beliau sibuk menjayakan konsert jelajahnya pada awal tahun.

Selepas berfikir panjang dan membuat pelbagai pertimbangan dengan seluruh pasukan pengurusannya, Siti Nurhaliza bersetuju menerima undangan berkenaan.

"Saya percaya ramai penyanyi mempunyai keinginan untuk beraksi di pentas antarabangsa. Saya tidak terkecuali. Lalu, selepas memikirkan ini adalah undangan yang sangat istimewa, saya menerima tawaran ini," kata Siti Nurhaliza lagi.


Tiket-tiket untuk menonton konsert Siti Nurhaliza di Adelaide, Australia sudah mula dijual.


Sebagaimana berdebar beraksi di Royal Albert Hall, London, rasa yang sama dirasakan kali ini.

“Memang ada rasa berdebar sebab membuat persembahan di negara orang dan pemilihan oleh penganjur juga satu penghormatan kepada saya,” kata Siti Nurhaliza menyambung perbualan.

Sebelum itu, dalam laman Instagram peribadinya, Siti Nurhaliza, 40, mengajak kelompok peminat-peminatnya yang dikenali sebagai Sitizoners untuk sama-sama meraikan penganjuran konsert terbaharnya itu.

“Kepada para peminat saya, Sitizoners, di mana sahaja anda berada jom kita ke Adelaide. Kepada peminat-peminat saya di Asutralia, inilah masanya anda bertemu dengan saya.

“Jumpa di Adelaide Oktober nanti,” kata ibu kepada Siti Aafiyah itu lagi.

Mereka yang berhasrat untuk menonton konsert Siti Nurhaliza, anda berpeluang membeli tiket-tiket berharga berharga $149 (RM573.35), $99 (RM285.23), $78 (RM224.73) dan (RM216.09).

Untuk maklumat lanjut, layari https://www.ozasiafestival.com.au/events/siti-nurhaliza/