Sivakumar nafi kediaman digeledah SPRM

Bernama
April 17, 2023 04:38 MYT
Menurut beliau, kerjasama berhubung siasatan kes rasuah untuk kuota pengambilan pekerja asing akan diberikan sepenuhnya jika diperlukan.- Fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar hari ini menafikan laporan bahawa pejabat dan kediaman beliau digeledah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam (Ahad).
"Tiada, tiada," katanya ketika ditanya mengenai satu laporan media yang memetik sumber memberitahu bahawa SPRM menggeledah pejabat dan kediamannya, selepas beliau hadir untuk memberi kenyataan di pejabat SPRM.
Sivakumar yang ditemui pemberita selepas majlis pra-pelancaran Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2023 di sini hari ini berkata, semalam beliau hadir ke ibu pejabat SPRM di sini untuk memberi kenyataan.
"Saya tidak ditahan. Saya ke sana (SPRM) semata-mata untuk memberikan kenyataan, jadi saya kata akan bagi kerjasama," katanya ketika ditanya mengenai kehadiran beliau ke SPRM semalam.
Ditanya adakah beliau akan dipanggil semula oleh SPRM untuk memberi kenyataan, Sivakumar berkata: "Tak ada".
Sivakumar menegaskan beliau dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM.
"Biar mereka (SPRM) buat siasatan. (Ia) masih dalam proses siasatan dan kalau apa-apa kita akan bagi kerjasama yang penuh, itu sahaja," katanya.
Sivakumar menjadi tumpuan baru-baru ini susulan penahanan beberapa pegawainya yang dipercayai berkaitan isu pengambilan pekerja asing.
-- BERNAMA
#V Sivakumar #digeledah SPRM #Menteri Sumber Manusia #Rasuah