22 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) yang kekurangan murid sedang dalam proses pemindahan ke kawasan bekeperluan tinggi khususnya di kawasan bandar.

Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata pemindahan itu menjadi agenda MIC dalam meningkatkan mutu pendidikan komuniti India.

Jelasnya, kebanyakan SJKT yang terletak di kawasan ladang kini hanya menampung 10 murid kerana ramai dalam kalangan komuniti India berhijrah ke bandar.

“Agenda kita adalah untuk memindahkan sekolah-sekolah yang mempunyai bilangan murid yang kecil kepada kawasan yang memerlukan.

“Kita mempunyai 22 sekolah di seluruh negara dengan kurang daripada 10 orang murid yang berdaftar di sekolah-sekolah berkenaan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Segamat berkata demikian kepada pemberita selepas majlis peletakan batu asas pembinaan bangunan baru SJKT Ladang Nyior di Sri Lalang di sini hari ini.

Menurut Dr Subramaniam, proses pemindahan itu perlu dilakukan secara berperingkat memandangkan wujudnya cabaran seperti mendapatkan tanah dan juga pembiayaan kos pembinaan.

Sehubungan itu, beliau meminta masyarakat memahami isu perpindahan SJKT tersebut dan memberi kerjasama menjayakan perpindahan ke kawasan lebih sesuai demi memartabat pendidikan.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Dr Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan berharap kemasukan murid di SJKT Ladang Nyior akan meningkat kepada 150 orang, berbanding hanya dua murid ketika ini, apabila bangunan baharunya dibuka di tanah seluas 2.6 hektar.

"Pengoperasian SJKT Ladang Nyior tidak logik diteruskan kerana hanya mempunyai dua murid yang memerlukan 13 guru.

"Sehubungan itu, kita pindahkannya ke Sri Lalang kerana tiada SJKT di kawasan ini, supaya bilangan murid dapat ditingkatkan memandangkan terdapat beberapa penempatan di kawasan ini termasuk Kampung MIC," katanya.

Menurut Dr Subramaniam, pembinaan bangunan baharu melibatkan 12 bilik darjah itu menelan kos RM3.5 juta yang dijangka siap dalam tempoh 24 bulan.