Terkini: Kes Pelajar Jatuh dari Asrama di Sabak Bernam – Ikuti perkembangan di sini
MALAYSIA

Skandal Jana Wibawa, 1MDB antara bukti keperluan RUU Perolehan – PM Anwar

Khalis Khadir 27/08/2025 | 12:15 MYT
Menurut Anwar, sejarah kewangan negara yang sarat dengan episod hitam kini menuntut keberanian melakukan anjakan besar dalam tatakelola. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Skandal Jana Wibawa menjadi salah satu bukti ketelusan dan pertanggungjawaban dalam pengurusan kewangan kerajaan yang tidak lagi boleh dianggap pilihan, sebaliknya satu tuntutan yang mesti dilaksanakan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sejarah kewangan negara yang sarat dengan episod hitam kini menuntut keberanian melakukan anjakan besar dalam tatakelola.

"Ini daripada skandal Maminco sekitar 1980-an, kejatuhan Bank Bumiputera, kerugian besar akibat urus niaga Forex, Perwaja sehinggalah tragedi 1Malaysia Development Berhad (1MDB), perolehan kapal tempur pesisir (LCS) dan perolehan ketenteraan.

"Terkini, skandal Jana Wibawa menjadi bukti nyata persoalan ketelusan dan pertanggungjawaban bukan lagi pilihan, malah tuntutan mesti kita laksanakan. Kita mesti memastikan bahawa tidak ada lagi pengulangan seumpamanya pada masa hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan bacaan kali kedua RUU Perolehan Kerajaan 2025 di Dewan Rakyat pada Rabu.

Tegas Anwar, budaya penganugerahan kontrak secara runding terus tidak boleh diteruskan, selain menyatakan komitmen bahawa kerajaan akan terus bekerja keras mengekang amalan yang membuka ruang kepada ketirisan, kronisme dan salah guna kuasa.

Anwar turut berharap, seluruh jentera kerajaan patuh kepada hukum perundangan kerana ia adalah jalan menyelamatkan maruah negara.

"Usaha memecahkan hegemoni dan monopoli kartel, daripada telur, ayam, sayur-sayuran hinggalah ubat-ubatan sedang digerak dan dilaksanakan, meskipun jalannya penuh onak dan duri," tegasnya.

RUU Perolehan Kewangan 2025 mengandungi 12 bahagian dan 93 fasal, dengan matlamat utama meletakkan kebertanggungjawaban sepenuhnya kepada pihak yang menguruskan perolehan menggunakan dana kerajaan.



#1MDB #LCS #Dewan Rakyat #Jana Wibawa