MALAYSIA
Skandal lebuh raya: Pemegang konsesi bergelar Tan Sri dijangka beri keterangan pada Rabu
Kes terbabit disiasat di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Seorang pemegang konsesi lebuh raya bergelar Tan Sri yang disiasat berhubung skandal penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang, melibatkan jutaan ringgit dijangka hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya pada Rabu.
Ringkasan AI
- Seorang pemegang konsesi lebuh raya bergelar Tan Sri disiasat oleh SPRM atas dakwaan penyelewengan dana sukuk bernilai RM1.35 bilion, dengan individu tersebut dijangka memberi keterangan pada Rabu.
- Penyelewengan melibatkan tuntutan palsu, rasuah RM12 juta, serta projek lebuh raya RM1.67 bilion yang gagal disiapkan, menyebabkan siasatan tertumpu kepada aliran wang keluar dan peranan pihak tertentu.
- SPRM telah menyita aset bernilai RM143 juta, termasuk akaun bank, kondominium mewah, kenderaan, barangan kemas, jam tangan bernilai RM25 juta, serta empat ekor kuda, dengan kes disiasat di bawah Akta SPRM dan AMLA.
Menurut sumber SPRM, keterangan individu berkenaan dijadualkan untuk direkodkan pada pukul 9 pagi.
Sebelum ini, proses merekod keterangan terpaksa ditangguhkan kerana suspek sedang menerima rawatan di hospital.
Siasatan awal mendapati penyelewengan berlaku antara tahun 2016 hingga 2020 melibatkan dana sukuk yang diluluskan sebanyak RM1.35 bilion. Daripada jumlah itu, tuntutan palsu dianggarkan mencecah RM360 juta dan RM416 juta, selain pinjaman fasiliti bank sebanyak RM50 juta turut disiasat.
Projek pembinaan lebuh raya yang bernilai RM1.67 bilion itu juga didapati gagal disiapkan dalam tempoh ditetapkan. Siasatan turut menumpukan kepada dakwaan rasuah berjumlah RM12 juta yang dibayar kepada pihak tertentu sebagai ganjaran untuk membantu mengalirkan wang keluar dan kemudiannya dikembalikan semula kepada suspek.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sebelum ini mengesahkan jumlah sitaan berkaitan penyelewengan dana sukuk tersebut dianggarkan bernilai kira-kira RM143 juta.
Sitaan berkenaan melibatkan 14 akaun individu berjumlah RM4.5 juta, lapan akaun syarikat (RM33 juta), sebuah kondominium mewah dan sebidang tanah (RM24.5 juta), sembilan unit kenderaan mewah serta pelbagai barangan mewah lain.
Antara yang turut disita ialah jam tangan eksklusif bernilai RM25 juta, barangan kemas dan berlian (RM6 juta), beg tangan berjenama (RM3 juta), minuman keras (RM3 juta) serta empat ekor kuda yang dianggarkan bernilai RM400,000.
Kes disiasat di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001.