MALAYSIA

Skandal rasuah: Integriti ATM tidak harus terjejas hanya disebabkan pecah amanah segelintir - PM

Asyraf Malik 21/01/2026 | 06:36 MYT
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata anggota keselamatan negara memikul tanggungjawab besar mempertahankan kedaulatan tanah air. - Gambar Astro AWANI/ Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan semangat, integriti dan daya tahan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak seharusnya terjejas hanya disebabkan isu pecah amanah membabitkan segelintir individu dalam pasukan itu.


Ringkasan AI
  • Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan kepentingan semangat, integriti, dan daya tahan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak seharusnya terjejas oleh isu pecah amanah segelintir individu dalam pasukan tersebut.
  • Anwar memberi penghargaan kepada pasukan keselamatan negara atas usaha mereka dalam mempertahankan kedaulatan tanah air, serta menegaskan keamanan yang dinikmati rakyat hari ini merupakan hasil kerja keras mereka.
  • Beliau menyatakan sokongan terhadap anggota ATM dan menegaskan komitmen untuk memastikan kebajikan mereka tidak diabaikan, sambil menegaskan bahawa tanggungjawab pasukan keselamatan lebih berat daripada penjawat awam biasa.


Jelas Perdana Menteri, pasukan keselamatan negara memikul tanggungjawab besar mempertahankan kedaulatan tanah air, malah keamanan dinikmati rakyat hari ini merupakan hasil usaha keras mereka.

“Saya tidak mahu isu melibatkan segelintir pihak, walaupun masih dalam siasatan dan menunggu keputusan mahkamah, menyebabkan tercoreng muka kepada pegawai serta anggota tentera yang berkhidmat dengan baik.

“Diharap mereka tetap pendirian dan tegas menabur bakti agar negara mencapai prestasi ekonomi cemerlang menerusi keamanan diperjuangkan.

“Semalam kita umumkan, perdagangan Malaysia mencapai RM3 trilion pada tahun 2025. Pelabur luar yakin untuk datang ke Malaysia kerana kestabilan negara kita, terima kasih semua terutamanya anggota keselamatan,” ujar Anwar.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN), di sini, pada Rabu.

Anwar memberi contoh, Kor Kejuruteraan ATM antaranya, membuktikan kekuatan yang ada pada badan pasukan keselamatan itu.

“Hebatnya tentera ini mereka ada Kor Kujureteraan yang mampu menyiapkan dan memperbaiki rumah serta sekolah dengan cekap dan baik.

“Bermakna ada keupayaan... siapa kata semuanya berita buruk, dari situlah kita bina kekuatan.

“Kita memberikan ikrar untuk memastikan kebajikan anggota ATM tidak diabaikan. Tanggungjawab mereka lebih berat daripada penjawat awam biasa, berjauhan dengan keluarga selama berminggu dan berbulan demi negara,” kata Anwar.

ATM terutama Tentera Darat Malaysia terpalit dengan skandal apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kes rasuah berhubung perolehan TDM yang melibatkan beberapa bekas dan pegawai tertinggi ATM.

Selain itu, ATM diarah menjalankan siasatan dalaman berhubung dakwaan kemasukan individu luar serta wujudnya aktiviti tidak bermoral di kem tentera yang tular di media sosial.

#ATM #Datuk Seri Anwar Ibrahim #skandal rasuah tentera #rasuah Tentera Darat