SKBBK tidak tetapkan had umur, lindungi pekerja selagi bekerja - Ramanan

Ramanan berhujah pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Keempat Parlimen ke-15 Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen, hari ini. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) yang diperkenalkan di bawah pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 [Akta 4] tidak menetapkan sebarang had umur bagi perlindungan pekerja.
Ringkasan AI
- Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) tidak menetapkan had umur untuk perlindungan pekerja, melindungi pekerja yang masih bekerja walaupun lepas 60 tahun.
- Perlindungan SKBBK hanya meliputi kemalangan dalam Malaysia dan tidak retrospektif; tidak termasuk aktiviti peribadi tidak berkaitan dengan tugasan rasmi.
- Pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 termasuk penetapan kadar caruman secara berperingkat, dengan 0.75% hingga 1.25%, dan RUU tersebut diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas perbahasan oleh 11 senator.
"Skim ini hanya melindungi kemalangan yang berlaku selepas tarikh kuat kuasa RUU ini," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Keselamatan Sosial Pekerja (2025) di Dewan Negara hari ini.
Ramanan berkata perlindungan SKBBK juga hanya meliputi kemalangan yang berlaku di dalam Malaysia kerana penguatkuasaan, siasatan dan pelaksanaan skim itu tertakluk kepada undang-undang negara ini.
Bagaimanapun, jika seseorang pekerja dihantar ke luar negara atas urusan rasmi majikan, perlindungan di bawah Skim Bencana Kerja masih terpakai sepanjang tempoh tugasan terbabit, termasuk untuk aktiviti harian yang munasabah seperti keluar makan, berhampiran tempat penginapan selepas waktu kerja.
"Namun, jika berlaku kemalangan semasa aktiviti peribadi yang tidak berkaitan dengan tugasan rasmi seperti bersiar-siar, membeli-belah ataupun melancong, perlindungan tidak terpakai.
"Ia juga tertakluk kepada siasatan lanjutan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bergantung pada undang-undang yang sedia diguna pakai," katanya.
Terdahulu, ketika membentangkan RUU berkenaan, Ramanan berkata pindaan itu antara lain melibatkan penetapan kadar caruman secara berperingkat serta menambah kategori caruman baharu bagi membolehkan pekerja mencarum SKBBK melalui majikan.
"Kadar caruman ditetapkan secara berperingkat dalam tiga fasa, iaitu 0.75 peratus pada fasa pertama, 1.0 peratus pada fasa kedua dan 1.25 peratus pada fasa ketiga.
"Pendekatan berperingkat ini memastikan impak kewangan kepada pekerja adalah minimum dan mampan," katanya.
Rang Undang-undang Keselamatan Sosial Pekerja (2025) itu kemudian diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan oleh 11 senator.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


