MALAYSIA

Skim Pembiayaan Teman TEKUN salur RM25.17 juta di Sabah tahun lepas

Bernama 02/02/2026 | 14:00 MYT
Mohamad Alamin menyampaikan ucapan pada Majlis Ramah Mesra Usahawan Teman Tekun di Perpustakaan Cawangan Membakut hari ini. - Gambar Bernama
MEMBAKUT: Skim Pembiayaan Teman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) menyalurkan RM25.17 juta di Sabah tahun lepas melepasi sasaran asal sebanyak RM21.94 juta.


Ringkasan AI
  • Skim Pembiayaan Teman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) salurkan RM25.17 juta di Sabah tahun lepas, melepasi sasaran asal sebanyak RM21.94 juta, menunjukkan keyakinan usahawan Sabah dan keberkesanan kemudahan pembiayaan kerajaan.
  • Pencapaian jumlah keseluruhan pembiayaan TEKUN di peringkat nasional sebanyak RM162.05 juta melebihi sasaran RM155 juta, menunjukkan kesan positif dalam merangsang pertumbuhan ekonomi rakyat.
  • TEKUN Nasional Sabah mengambil inisiatif pelaksanaan program turun padang, latihan keusahawanan, dan sokongan pembiayaan untuk meningkatkan pendapatan, memperluas pasaran, serta membangunkan perniagaan usahawan tempatan.


Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mohamad Alamin berkata pencapaian itu membuktikan usahawan Sabah semakin yakin dan proaktif memanfaatkan kemudahan pembiayaan disediakan kerajaan.

"Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi bersama-sama TEKUN Nasional akan terus memastikan sokongan berterusan diberikan agar usahawan mikro dan kecil mampu berkembang serta berdaya saing," katanya semasa berucap pada Majlis Ramah Mesra Usahawan TEMAN TEKUN di sini hari ini.

Beliau berkata pada peringkat nasional, pembiayaan TEMAN TEKUN telah merekodkan jumlah keseluruhan RM162.05 juta mengatasi sasaran RM155 juta, sekali gus membuktikan keberkesanan pelaksanaan skim pembiayaan TEKUN Nasional dalam merangsang pertumbuhan ekonomi rakyat.

"Kerajaan komited untuk memastikan usahawan luar bandar dan komuniti setempat tidak tercicir daripada arus pembangunan ekonomi negara. Fokus kita ialah membantu usahawan meningkatkan pendapatan, memperkukuh perniagaan serta membina masa depan lebih stabil," katanya.

Berhubung program itu, Mohamad berkata penganjur turut menyediakan Booth Informasi TEKUN Nasional bagi memudahkan usahawan mendapatkan maklumat berkaitan skim pembiayaan, khidmat nasihat perniagaan serta bimbingan secara terus daripada pegawai berkaitan.

"Program ini turut menampilkan Booth TikTok Shop dan Pemasaran Digital sebagai platform pendedahan kepada usahawan tempatan bagi memperluas pasaran produk secara dalam talian serta meningkatkan keupayaan pemasaran berasaskan teknologi digital.

"Pendigitalan perniagaan merupakan elemen penting dalam memastikan kelangsungan dan daya saing usahawan. Inisiatif seperti pendedahan kepada platform e-dagang dan pemasaran digital mampu membuka peluang pasaran yang lebih luas kepada produk tempatan," katanya.

Mohamad berkata TEKUN Nasional Sabah akan terus mempergiat pelaksanaan program turun padang, inisiatif latihan keusahawanan dan sokongan pembiayaan bagi memastikan lebih ramai usahawan mampu meningkatkan pendapatan, memperluas pasaran serta membina perniagaan yang mampan serta berdaya tahan.

-- BERNAMA


#E-dagang #skim pembiayaan #TikTok #TEKUN