MALAYSIA

Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak diteruskan melangkaui 2026

Bernama 18/12/2025 | 10:30 MYT
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg melancarkan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES), hari ini. - Foto Bernama
KUCHING: Kerajaan Negeri Sarawak komited untuk meneruskan Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) melangkaui 2026.


Ringkasan AI
  • Kerajaan Negeri Sarawak berkomitmen meneruskan Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) sehingga 2026 dengan peruntukan RM250 juta pada tahun depan.
  • FTES tidak hanya menanggung yuran pengajian tetapi juga menyediakan elaun bulanan kepada pelajar yang layak, merangkumi kursus dalam bidang STEM, perubatan, undang-undang, dan kewangan.
  • Premier Sarawak meyakinkan kemampuan kerajaan negeri untuk terus menjalankan FTES dengan baik asalkan terdapat tadbir urus yang baik dan pemimpin yang ikhlas dalam pengurusan negeri.


Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata peruntukan sebanyak RM250 juta telah diperuntukkan untuk pelaksanaan FTES pada tahun depan.

"Inisiatif FTES bukan hanya untuk 2026, ia akan berkekalkan pada masa depan. Tiap-tiap tahun kita akan beri. Untuk meneruskannya kita mesti ada duit (dan) ini tugas kepada pemimpin untuk mencari sumber (kewangan) dan kami akan melakukan tugasan ini.

"Kami tidak mahu ibu bapa Sarawak berasa bimbang tentang pendidikan tinggi anak mereka," katanya semasa melancarkan inisiatif FTES di sini hari ini.

Abang Johari juga yakin dengan kemampuan kerajaan negeri untuk mengekalkan pelaksanaan FTES.

"Pendidikan tinggi telah menjadi tanggungjawab kerajaan negeri tetapi saya tidak bimbang. Saya boleh beri jaminan selagi kita mempunyai tadbir urus yang baik dan pemimpin ikhlas menguruskan negeri, kita boleh meneruskan program ini," katanya.

Pada 1 Dis, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata sebanyak 64 kursus telah diluluskan di bawah FTES menerusi empat institusi pengajian tinggi milik Sarawak iaitu Universiti Teknologi Swinburne, Universiti Curtin Malaysia, Universiti Teknologi Sarawak dan Kolej Universiti i-CATS.

FTES bukan hanya menampung yuran pengajian tetapi juga menyediakan elaun bulanan kepada mereka yang layak untuk membantu perbelanjaan keperluan asas sepanjang tempoh pengajian.

Skim itu menumpukan kepada program ijazah sarjana muda dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), perubatan, undang-undang, perakaunan, kewangan dan psikologi selaras dengan keperluan pembangunan bakat di Sarawak.

-- BERNAMA




#Skim Pendidikan Tinggi Percuma #FTES #Sarawak #Abang Johari Tun Openg