[LAPOR LANGSUNG] Sumud Flotilla ke Gaza – Perjalanan kini Semakin Hampir. Ikuti perkembangan di sini
MALAYSIA

Skim perlindungan di luar waktu kerja beri manfaat kepada semua - Lee Lam Thye

Bernama 30/09/2025 | 13:30 MYT
Lee berkata kemalangan dan kecederaan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa, bukan hanya di tempat kerja, menjadikan penting untuk pekerja dilindungi di luar waktu kerja. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan memperluas perlindungan keselamatan sosial di luar waktu pekerjaan disambut baik kerana telah lama dinantikan memandangkan ia memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia, kata aktivis perlindungan sosial Tan Sri Lee Lam Thye.

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata kemalangan dan kecederaan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa, bukan hanya di tempat kerja, menjadikan penting untuk pekerja dilindungi di luar waktu kerja.

"Dalam dunia serba pantas kini, pekerja berdepan risiko semasa bekerja dan ketika melakukan aktiviti seharian. Kemalangan jalan raya, tergelincir, terjatuh dan pelbagai insiden tidak dijangka boleh menyebabkan kecederaan serius dan keluarga mengalami kesukaran jika tiada perlindungan mencukupi," katanya.

Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, bahawa kerajaan akan memperkenalkan Skim Kecederaan Bukan Pekerjaan bagi melindungi pekerja, selaras realiti masa kini seperti waktu kerja yang fleksibel dan jarak jauh.

Lee berkata perlindungan sepanjang masa itu akan memberikan pekerja jaminan bahawa kesejahteraan pekerja dilindungi tanpa mengira bila atau lokasi kemalangan berlaku.

"Ini penting kerana golongan pekerja merupakan tulang belakang ekonomi negara dan keselamatan serta kesejahteraan mereka perlu sentiasa menjadi keutamaan," katanya.

Lee berkata memperluas perlindungan di luar waktu kerja juga akan membawa Malaysia ke arah sistem keselamatan sosial lebih menyeluruh dan berperikemanusiaan, memperkukuh jaringan keselamatan pekerja dan mengurangkan beban kewangan keluarga.

Beliau juga menyeru semua pihak berkepentingan khususnya kerajaan, majikan dan pekerja untuk menyokong inisiatif itu bagi memastikan setiap pekerja mendapat perlindungan 24 jam sehari.

-- BERNAMA



#sistem keselamatan sosial #luar waktu kerja #beban kewangan #tulang belakang