MALAYSIA
Skim Strata Bebas Kenderaan Usang, tangani lambakan kereta buruk di perumahan

Loke berharap usaha yang dilaksanakan Pulau Pinang itu dapat dijadikan contoh serta diperluaskan ke negeri lain bagi menyelesaikan masalah kenderaan usang sekali gus mewujudkan persekitaran lebih bersih, selesa dan selamat. - Gambar hiasan
GEORGE TOWN: Pulau Pinang menjadi negeri pertama memperkenalkan program 'Skim Strata Bebas Kenderaan Usang' bagi menangani isu lambakan kenderaan terbiar di kawasan perumahan strata.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata program itu dilaksanakan melibatkan kerjasama bersepadu antara kementerian, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan swasta dalam mencari penyelesaian menyeluruh terhadap masalah berkenaan yang dilihat semakin meruncing.
Beliau berkata isu kenderaan usang yang tinggalkan dalam tempoh lama di perumahan bertingkat bukan sahaja menyebabkan ruang parkir menjadi terhad hingga menimbulkan ketegangan antara penduduk, malah dikhuatiri menjadi sarang pembiakan aedes selain berpotensi digunakan untuk aktiviti jenayah.
"Selama ini, PBT berdepan kekangan untuk melupuskan kenderaan tersebut kerana terikat dengan prosedur undang-undang, kos dan masa."Justeru, inisiatif kerajaan negeri melalui Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mewujudkan program ini di peringkat masyarakat berupaya menjadi penyelesaian terbaik dalam menyediakan mekanisme mengatasi masalah lambakan kenderaan usang di kawasan perumahan bertingkat ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program berkenaan di Flat Turnkey Sri Pinang di sini hari ini, yang turut dihadiri Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.
Bagi memastikan keberkesanan program itu, Loke berkata kementerian telah memperkenalkan sistem "e-Deregistration" atau "e-Dereg", iaitu platform digital yang membolehkan pemilik kenderaan membuat pembatalan kenderaan seterusnya memudahkan proses pelupusan.
Loke menjelaskan sistem itu dibangunkan untuk memudahkan pemilik melupuskan kenderaan mereka dengan proses pembatalan dibuat secara dalam talian dan hanya mengambil masa kurang lima minit, tanpa perlu beratur di pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Beliau berkata Skim Strata Bebas Kenderaan Usang itu turut mendapat kerjasama syarikat rawatan automotif berlesen (AATF) yang dilesenkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS), CarMedic yang bertanggungjawab menguruskan proses pelupusan secara teratur dan mesra alam.
"Inisiatif ini memberi manfaat kepada semua pihak kerana pemilik tidak perlu menanggung kos malah menerima bayaran berdasarkan nilai kenderaan, manakala PBT dapat mengurangkan beban operasi menarik dan menyimpan kenderaan terbengkalai," katanya.
Beliau berharap usaha yang dilaksanakan Pulau Pinang itu dapat dijadikan contoh serta diperluaskan ke negeri lain bagi menyelesaikan masalah kenderaan usang sekali gus mewujudkan persekitaran lebih bersih, selesa dan selamat.
Terdahulu pada majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri H'ng Mooi Lye, menjadi pemilik pertama menggunakan kemudahan e-Dereg dengan menyerahkan kenderaan beliau untuk dilupuskan secara rasmi.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami