SKMM ambil pendekatan efektif, pastikan rakyat dapat capaian internet berkualiti

Isabelle Leong
November 18, 2020 20:38 MYT
FADHLULLAH: Kami cuba membantu dalam jangka masa terdekat di mana mereka yang tidak mendapat kualiti liputan yang elok, kami sudah menyediakan pusat internet komuniti. -BERNAMA
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sudah mengambil pendekatan efektif bagi memastikan rakyat negara ini mendapat capaian internet berkualiti.
Pengerusi SKMM, Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek berkata ia susulan mendengar rungutan dan keluhan daripada orang ramai bahawa liputan dan kualiti perkhidmatan internet yang disediakan tidak memuaskan.
Fadhlullah berkata pihaknya mengambil pendekatan responsif dengan mengenakan penalti ke atas syarikat-syarikat telekomunikasi sekiranya mereka gagal menaik taraf liputan dan kualiti perkhidmatan dalam jangka masa yang ditetapkan.
“Sekiranya syarikat telekomunikasi tidak meningkatkan liputan dan kualiti perkhidmatan, kami mengenakan penalti, iaitu mereka akan dikenakan saman.
“Lazimnya, syarikat ini boleh membayar saman tetapi mereka malu kerana jenama mereka turut terlibat.
“Oleh itu, mereka akan memastikan untuk memberi liputan yang lebih baik,” katanya menerusi program Agenda AWANI pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau berkata SKMM juga menyediakan pusat internet komuniti di kawasan yang tidak mendapat kualiti liputan yang baik.
“Kami cuba membantu dalam jangka masa terdekat di mana mereka yang tidak mendapat kualiti liputan yang elok, kami sudah menyediakan pusat internet komuniti.
“Pusat internet komuniti tersebut terletak antara 2km hingga 11km antara satu sama lain.
“Jarak mencecah 11km kerana mungkin penduduk tidak terlalu padat, maka mereka terpaksa meletakkan pusat tersebut jauh sedikit.
“Tetapi di kawasan yang lebih padat, jarak antara pusat internet komuniti itu sedekat 2km,” jelasnya.
#SKMM #Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia #pendekatan efektif #capaian internet berkualiti #Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek #saman #pusat internet komuniti