SKMM mohon bantuan kesan individu hina kemangkatan Almarhum Sultan Azlan Shah

Astro Awani
Mei 30, 2014 03:34 MYT
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang bertindak mengesan individu-individu menghina Institusi Beraja di media sosial, terutamanya berhubung kemangkatan DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Almarhum Sultan Azlan Shah baru-baru ini.
Pengerusi SKMM, Datuk Mohamed Sharil Tarmizi berkata pihaknya memandang serius penghinaan sebegini.
“SKMM akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan lunas undang-undang seperti diperuntukkan dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Kami memohon orang awam yang mempunyai sebarang maklumat yang boleh membantu siasatan SKMM untuk tampil memberikan maklumat berkenaan di talian 03-8688 8000,” tambah Datuk Sharil.
Almarhum Sultan Azlan Shah, 86, mangkat pada pukul 1.30 tengah hari Rabu dan jenazah baginda telah selamat dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar pada Khamis.
#Almarhum Sultan Azlan #Dato' Mohamed Sharil Tarmizi #DYMM Paduka Seri Sultan Perak #Pengerusi SKMM #Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)