Skor rendah indeks rasuah antarabangsa sektor pertahanan, Mindef sedia beri kerjasama penuh

Bernama
November 16, 2021 14:05 MYT
Hishammuddin berkata dalam isu ketirisan, rasuah dan salah guna kuasa; sejak pentadbiran Pakatan Harapan lagi kerajaan telah mewujudkan pelbagai jawatankuasa bagi menanganinya. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (Mindef) sedia memberi kerjasama penuh kepada mana-mana pihak susulan penarafan rendah dicatatkan negara bagi indeks antarabangsa berkaitan rasuah dalam sektor pertahanan.
Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata dalam isu ketirisan, rasuah dan salah guna kuasa; sejak pentadbiran Pakatan Harapan lagi kerajaan telah mewujudkan pelbagai jawatankuasa bagi menanganinya.
"Mindef sedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada mereka untuk mencari keadilan dan kebenaran," katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas penarafan 'D' diterima negara selepas mencatatkan skor 45 peratus untuk Indeks Integriti Pertahanan Kerajaan (GDI) 2020 yang dikeluarkan Transparency International hari ini.
Menurut laman sesawang Transparency International Defence and Security, berdasarkan data yang dikumpul dari Ogos 2019 hingga Jun 2021, Malaysia dinilai mempunyai risiko rasuah yang tinggi dalam sektor pertahanannya.
Mengulas lanjut Hishammuddin menjelaskan bahawa beliau sendiri telah menjawab banyak isu berkaitan perkara berkenaan sebelum ini.
"Saya difahamkan penarafan D untuk GDI ini baru diumumkan pagi tadi dan apa yang mereka umumkan berdasarkan kajian mereka tahun lepas. Saya sendiri baru terajui Mindef semula tiga bulan, jadi saya akan tengok apa terkandung dalam laporan ini," katanya.
-- BERNAMA
#Kementerian Pertahanan #Rasuah #Hishammuddin Hussein #Transparency International