MALAYSIA

SKPS: Syarikat belum terima 'fleet card' boleh tuntut beza harga RON95

Bernama 26/09/2025 | 12:45 MYT
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali beramah mesra bersama sebahagian pelanggan yang hadir pada program Jelajah Karnival KPDN 2025 dan Kempen Beli Barangan Malaysia Zon Utara hari ini. - Foto BERNAMA
SUNGAI PETANI: Syarikat pengangkutan awam dan barangan yang belum memiliki 'fleet card' subsidi petrol RON95 boleh mengemukakan permohonan tuntutan bayaran balik tunai di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) mulai 30 Sept ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata kemudahan itu membolehkan syarikat terbabit membuat tuntutan perbezaan harga RON95 yang telah dibayar pada harga runcit tanpa subsidi dengan harga subsidi RON95 SKPS iaitu RM2.05 seliter.

Menurut beliau, kelayakan permohonan tuntutan bayaran balik tunai itu tertakluk kepada beberapa syarat, antaranya syarikat perlu mengemukakan rekod telah mendaftar di bawah SKPS dan telah memohon fleet card sebelum atau pada 31 Okt 2025.

"Pembayaran balik tunai ini adalah untuk tempoh pembelian petrol mulai 30 Sept hingga 31 Okt, atau sehingga tarikh fleet card diterima syarikat pengangkutan, yang mana lebih awal.

"Permohonan bayaran balik tunai boleh dibuat melalui platform sama iaitu SKPS. Semua tuntutan wajib disertakan dengan bukti resit pembelian petrol RON95 yang dimuat naik ke dalam sistem SKPS," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena program Jelajah Karnival Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) 2025 dan Kempen Beli Barangan Malaysia Zon Utara di Dataran Amanjaya Mall, di sini, hari ini.

Menurut Armizan, bayaran balik tunai akan dikreditkan ke dalam akaun bank syarikat oleh Kementerian Kewangan dalam tempoh 15 hari bekerja selepas proses semakan selesai oleh pentadbir SKPS di KPDN.

Sementara itu, beliau menggesa semua syarikat pengangkutan awam dan barangan yang layak supaya segera membuat pendaftaran SKPS bagi menikmati manfaat subsidi RON95.

Katanya pendaftaran SKPS bagi dua sektor pengangkutan tersebut telah dibuka sejak 15 Sept lalu dan setakat semalam, sebanyak 5,233 syarikat dengan 12,955 kenderaan telah mendaftar di seluruh negara.

"Kalau ikut rekod awal, kenderaan yang layak dianggarkan sekitar 100,000 buah. Jadi, jumlah yang telah mendaftar masih jauh daripada anggaran itu. Kita harap mereka segera mendaftar untuk menikmati subsidi RON95," katanya.

-- BERNAMA


#skps #fleet card #subsidi petrol RON95 #Armizan Mohd Ali