Indonesia muncul juara Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2018 selepas mengejutkan China 3-1 pada perlawanan akhir di Stadium Sultan Abdul Halim Suka Menanti, di sini pada Ahad.

Ini kali kedua Indonesia muncul juara BATC kategori berpasukan lelaki selepas kali pertama memenangi pada 2016, di Hyderabad, India yang juga merupakan edisi sulung kejohanan berkenaan.

Perseorangan pertama, Jonatan Christie memerlukan lebih satu jam sebelum mengesahkan mata pertama buat Indonesia apabila mengejutkan pemain di ranking ketujuh dunia Shi Yuqi 16-21, 21-17, 21-18.

Gandingan Mohammad Ahsan-Angga Pratama menyumbang mata kedua kepada naib juara Piala Thomas 2016 itu selepas menundukkan He Jiting-Tan Qiang dengan straight set 21-19, 21-18.

China merapatkan jurang menerusi Qiao Bin yang mengalahkan Anthony Ginting 21-12, 11-21, 21-14.

Pasangan beregu kedua Indonesia, Rian Agung Saputro-Hendra Setiawan menjadi wira pasukan selepas mengutip mata kemenangan dengan mengetepikan pasangan Han Chengkai-Zhou Haodong 21-14, 21-19.

"Pada set pertama, jauh daripada apa saya fikirkan kerana corak permainan agak mencabar dari segi hantarannya. Di set seterusnya, saya mula berfikir yang kita sama-sama pemain muda. Kita seperti berlawan fizikal dan mental.

"Satu-satunya cara, perlu lebih pintar. Kalau dilihat dari segi fizikal dia memang kuat. Saya gembira sehingga ke tahap ini, saya berjaya menyempurnakan tugas saya selaku perseorangan pertama hingga ke babak final hari ini," kata Jonatan.

Jurulatih beregu Indonesia, Herry Iman Pierngadi berkata pada penentuan akhir Ahad, beliau cenderung memilih pemain lebih berpengalaman untuk menghadapi saat-saat genting meskipun pasangan Rian-Hendra mengalami kekalahan ketika menentang gandingan Korea Selatan pada aksi separuh akhir pada Sabtu.

Katanya, daripada kesilapan Sabtu, beberapa perkara sudah dikenal pasti dan berjaya diterjemahkan oleh gandingan Rian-Hendra yang menyumbang mata kemenangan Indonesia, sekali gus mengekalkan gelaran juara BATC untuk kali kedua, selepas memenanginya pada 2016.

Selain itu, Herry berharap barisan pemain tidak leka dengan persiapan bagi menghadapi saingan sebenar pada Piala Thomas di Bangkok, Thailand dari 20-27 Mei depan.

"Masih ada baki tiga bulan, kita buat persiapan lebih baik kerana cabaran di Bangkok nanti jauh lebih sukar kerana ada Denmark, England dan China yang akan hantar pasukan terkuat. Kita tidak mahu terlena dengan hasil dicapai hari ini," katanya.

-- BERNAMA