"SLEP", "Refit" dan "Repowering" langkah strategik tingkat kemampuan kapal Maritim Malaysia

Maritim Malaysia komited mengekang pencerobohan vesel negara asing (VNA) serta memperkukuh kawalan sempadan perairan negara daripada diceroboh oleh penguat kuasa asing. - Gambar fail/Facebook Maritim Malaysia
PUTRAJAYA: Pelaksanaan Service Life Extension Programme (SLEP), Refit dan Repowering terhadap kapal sedia ada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), merupakan langkah strategik bagi memastikan aset kekal beroperasi pada tahap optimum serta menjimatkan perbelanjaan kerajaan.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, inisiatif tersebut, mampu memanjangkan jangka hayat kapal antara 10 hingga 15 tahun selain meningkatkan kecekapan operasi aset yang telah lama berkhidmat.
"Walaupun sebahagian besar aset kapal Maritim Malaysia telah berusia, ia tetap berupaya melaksanakan tanggungjawab besar, dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan perairan negara terpelihara.
"Antara tugas utama yang dilaksanakan termasuklah mencegah pelbagai bentuk jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan dan perdagangan manusia, dadah, rokok serta barangan bersubsidi, selain membanteras jenayah maritim lain," katanya dalam kenyataan pada Selasa.Beliau berkata, Maritim Malaysia juga terus komited mengekang pencerobohan vesel negara asing (VNA) serta memperkukuh kawalan sempadan perairan negara daripada diceroboh oleh penguat kuasa asing.
"Setiap kapal masih menjadi tulang belakang strategi operasi kami seperti keberadaan aset di perairan, kempen kesedaran maritim, tindakan awal bagi sesuatu operasi atau insiden serta kerjasama komuniti maritim," katanya.
Sementara itu, Mohd Rosli berkata, program penyelenggaraan ini dapat mempercepatkan proses kesiapsiagaan kapal untuk kembali beroperasi di lapangan, dengan mengambil masa antara 15 hingga 18 bulan.
"Ia jauh lebih singkat berbanding proses perolehan kapal baharu yang mengambil masa sekurang- kurangnya tiga hingga lima tahun untuk disiapkan.
"Melalui pendekatan ini, Maritim Malaysia dapat memastikan kapal lama kembali beroperasi dengan prestasi lebih baik tanpa perlu menanggung kos besar seperti pembinaan kapal baharu.
"Sebagai contoh, pembaikan kapal kelas offshore patrol vessel (OPV) biasanya memerlukan antara 15 hingga 20 peratus daripada kos pembinaan kapal baharu yang dianggarkan sekitar RM350 juta," katanya.
Mohd Rosli berkata, selain fungsi penguatkuasaan undang-undang, kapal-kapal Maritim Malaysia turut berperanan penting dalam usaha menyelamat nyawa serta harta benda di laut.
"Dengan kepakaran teknikal sedia ada, kita mampu mengekalkan kapal berusia supaya terus berfungsi dengan baik dan selamat," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami