Slim Memilih: 8 peratus keluar mengundi setakat jam 9 pagi

Hasimi Muhamad
Ogos 29, 2020 01:55 MYT
Seramai 1,820 daripada 22,749 pengundi biasa yang layak mengundi sudah menunaikan tanggungjawab. -Astro AWANI/Hasimi Muhamad
Peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim setakat pukul 9 pagi ialah 8 peratus.
Perkara itu dimaklumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam kemas kini di akaun Twitter sebentar tadi.
Berdasarkan peratusan tersebut, dianggarkan seramai 1,820 daripada 22,749 pengundi biasa yang layak mengundi hari ini sudah menunaikan tanggungjawab mereka.
SPR sebelum ini dalam kenyataan menyarankan pengundi untuk keluar mengundi pada masa yang digalakkan seperti tertera pada kad pengundi.
SPR menjangkakan peratusan keluar mengundi pada PRK DUN Slim adalah 70 peratus.
Namun, pihaknya mengharapkan peratusan tersebut boleh meningkat kepada 85 peratus sehingga proses pengundian berakhir pada 5.30 petang ini.
PRK N.58 DUN Slim menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) dengan dua calon Bebas.
BN diwakili Mohd Zaidi Aziz, 43 manakala dua calon Bebas ialah S Santhasekaran, 44, dan Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, yang mewakili Parti Pejuang Tanahair (Pejuang).
#DUN Slim #mengundi #Perak #PRK Slim #SPR #Suruhanjaya Pilihan Raya #Twitter