KUALA LUMPUR : Slot untuk mendapatkan vaksin COVID-19 di Lembah Klang secara jumpa terus atau 'walk-in' setakat jam 5 petang ini hanya berbaki 1,773 untuk hari ini.

Perkara itu dimaklumkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) melalui perkongsian di laman Twitternya hari ini.

Slot Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Hotel Movenpick, Sepang merekodkan jumlah tertinggi dengan 710 slot. Ia diikuti dengan Hotel Wyndham, 588 kekosongan.

"Bagi PPV di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam, jumlahnya adalah 310 slot.

"Manakala buat Pusat Konvensyen Bangi Avenue pula adalah 186 slot," dedah JKJAV.

Dalam pada itu, kata JKJAV dalam perkongsian berasingan berkata slot melibatkan Dewan Komuniti Serendah pula telah habis sepenuhnya hari ini.

Setakat jam 4 petang juga, jumlah slot bagi PPV di Dewan Tun Razak, Sabak Bernam adalah 104 slot.



Pada Isnin, kes COVID-19 dalam negara dicatatkan pada angka 15,764 kes.

Jumlah ini menurun berbanding 17,150 kes yang direkodkan semalam.

Penambahan ini sekali gus membawa kepada jumlah keseluruhan kes sebanyak 1,146,186 sejak pandemik bermula.