KUALA LUMPUR: Adik ketiga Emilia Hanafi memberitahu Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat, bahawa bekas abang iparnya, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin merupakan satu-satunya kekasih kakak sulungnya yang serius.

Pembekal makanan, Elisa Nani, 38, berkata, hubungan mereka bermula di zaman persekolahan dan berakhir ke jinjang pelamin, pada 2002.

Saksi pendakwaan keenam ini berkata demikian ketika perbicaraan kes ahli perniagaan terkenal, SM Faisal, 43, yang didakwa menyebabkan kecederaan terhadap bekas isterinya, Emilia, 43, di hadapan Majistret Nadia Othman.

Elisa Nani berkata, SM Faisal telah bertemu dengan Emilia melalui abangnya, Ezhan semasa bermain kasut roda ketika remaja.

“Saya mengenali SM Faisal sejak berumur 10 tahun apabila dia datang menjemput Emilia bersama ibunya di rumah kami.

“Pada hujung minggu pula, saya dan adik bongsu saya, Ezura sering mengikut Emilia untuk meluangkan masa di rumah keluarga SM Faisal di Damansara Jaya,” katanya.

Selain itu, dia berkata, mereka akan keluar makan bersama adik-beradik bekas abang iparnya itu, kerana usia mereka tidak jauh berbeza.

Meskipun dia mempunyai tanggungjawab dalam keluarga dan kerjaya, namun saksi ini berkata, sering mengunjungi rumah keluarga SM Faisal (kini) di Bukit Tunku.

Baginya, ibu SM Faisal dianggap sebagai ibu keduanya sendiri kerana ‘Aunty Zaleha’ merupakan seorang tokoh yang hebat.

“Dia akan datang melawat semasa saya berpantang, setelah melahirkan anak perempuan.

“Malah dia memasak makanan kegemaran saya, memeriksa saya dan anak-anak selain memberi nasihat bagaikan seorang ibu yang terbaik,” katanya.

Elisa Nani berkata, Emilia dan Faisal berkahwin pada tahun 2002 yang mana ketika itu mereka berdua berusia 25 tahun.

Ketika itu dia berkata, masih lagi melanjutkan pelajaran di Melbourne, Australia dan pulang ke Malaysia untuk majlis akad nikah berkenaan.

Menurutnya, Emilia kemudiannya melahirkan anak sulung, pada tahun 2006.

Elisa Nani berkata, memandangkan kanak-kanak itu merupakan cucu pertama bagi kedua-dua keluarga, maka dia sering ke kondominium pasangan itu di Ampang setiap kali kelapangan.

SM Faisal didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Emila yang ketika itu isterinya, di sebuah rumah di Jalan Kiara 3, Desa Sri Hartamas, Brickfields di sini, antara jam 12.30 tengah hari hingga 4.30 petang, 22 November 2015.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Untuk rekod, pasangan itu berkahwin pada 2002 sebelum bercerai 2016 manakala hak penjagaan terhadap tiga anak mereka, diberikan sepenuhnya pada Emilia.

Pada 27 Jun lalu, Emilia menjalani hukuman penjara tujuh hari atas kesalahan komital kerana ingkar perintah Mahkamah Tinggi Syariah di sini mengenai tarikh lawatan tiga anaknya.

Prosiding bersambung 6 Disember depan.

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.