KUALA LUMPUR: Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) masih belum menerima kebenaran daripada kerajaan Nepal untuk mengatur gerak misi mencari dan menyelamat (SAR), bagi membantu negara itu susulan bencana banjir dan tanah runtuh.
Komander SMART Penguasa Kanan Bomba 1 (PgKB 1) Abdul Manaf Che Isa berkata setakat hari ini, pihaknya masih belum menerima maklum balas daripada kerajaan Nepal berhubung perkara itu.
Beliau bagaimanapun berkata SMART kekal bersedia sepenuhnya untuk digerakkan pada bila-bila masa sekiranya menerima pengaktifan misi berkenaan.
“Kelengkapan aset operasi dan personnel (anggota) siap sedia untuk sebarang pengaktifan,” katanya.
Abdul Manaf berkata selain melibatkan SMART, misi bantuan berkenaan diselaraskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Luar (KLN).
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata Kerajaan MADANI memutuskan untuk menghantar SMART ke Nepal bagi membantu operasi SAR, susulan bencana banjir yang melanda negara itu.
Anwar berkata SMART turut diamanahkan untuk mengesan dan membawa pulang rakyat Malaysia yang terjejas, selain membantu Kedutaan Besar Malaysia di Nepal menyelaras bantuan serta memastikan keselamatan dan kebajikan mereka.
KLN sebelum ini memaklumkan sebanyak 55 rakyat Malaysia dilaporkan masih gagal dihubungi susulan banjir kilat dahsyat dan tanah runtuh di Daerah Rasuwa, Nepal yang berlaku pada 26 Ogos.
-- BERNAMA