KUALA LUMPUR: Pelaksanaan SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) bakal meningkatkan produktiviti dan pengeluaran padi dan beras negara menerusi penglibatan syarikat peneraju.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, inisiatif itu sekali gus akan membantu meningkatkan pendapatan pesawah selain mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah.

Jelasnya, pelaksanaan program ini melibatkan persetujuan bersama antara pesawah atau pengusaha dan syarikat peneraju berteraskan kepada pendekatan sewaan dan pertanian kontrak.

DI bawah persetujuan itu, hak pesawah masih kekal dan tidak terjejas. 

"Perbezaan dengan konsep pendekatan program sebelum ini ialah, kali ini ia tidak melibatkan kos dan modal daripada pesawah.

"Semua itu akan ditanggung oleh syarikat peneraju, yang merupakan konsep baharu.

"Jadi, bererti, pengurusan ladang sawah di bawah syarikat peneraju\, untuk tingkatkan hasil pengeluaran,"  katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) yang ingin tahu perbezaan pelaksanaan SMART SBB dibandingkan dengan inisiatif sama yang dilaksanakan sebelum ini.

Mengulas lanjut, Ronald berkata, setakat ini 19 syarikat peneraju telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan kerajaan, menyasarkan pembangunan kawasan penanaman padi seluas 300,000 hektar secara berperingkat.

Terbaharu adalah MOU yang ditandatangani pihak Kementerian Pertanian dan Industri Makanan bersama Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).