[TERKINI] Mohd Khalid Dilantik Ketua Polis Negara ke-15 – Ikuti Laporan Penuh di Sini
MALAYSIA

SMC kekal terunggul dalam bidang pediatrik di Malaysia tiga tahun berturut-turut

Bernama 19/06/2025 | 20:15 MYT
SMC juga merupakan hospital swasta pertama yang menawarkan Jabatan Kecemasan Kanak-Kanak 24 jam secara berasingan daripada Jabatan Kecemasan Dewasa. - Foto Sunway Medical Centre
KUALA LUMPUR: Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) terus mengungguli kedudukan teratas dalam bidang pediatrik di Malaysia untuk tahun ketiga berturut-turut, menurut penarafan Hospital Pakar Terbaik Asia Pasifik (APAC) 2025 oleh Newsweek.
Dalam kenyataan pada Khamis, SMC memaklumkan, ia bukan sahaja mengekalkan kedudukan nombor satu bagi bidang pediatrik di negara ini, malah turut berada dalam kelompok 75 hospital terbaik di rantau Asia Pasifik bagi bidang neurologi, pembedahan saraf, kardiologi, pembedahan jantung, onkologi dan ortopedik.
Presiden Kumpulan Penjagaan Kesihatan Sunway, Datuk Lau Beng Long meluahkan rasa bangga atas pengiktirafan berterusan terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan di rantau ini, khususnya dalam bidang pediatrik.
"Pusat Kesihatan dan Perkembangan Kanak-Kanak SMC mempunyai 26 subkepakaran pediatrik dengan lebih 50 pakar perunding - menjadikannya yang paling komprehensif dalam kalangan hospital swasta di negara ini.
"Kami juga merupakan hospital swasta pertama yang menawarkan Jabatan Kecemasan Kanak-Kanak 24 jam secara berasingan daripada Jabatan Kecemasan Dewasa," katanya.
Lau berkata, SMC turut mencatat sejarah sebagai hospital swasta pertama di Malaysia yang berjaya menjalankan pemindahan buah pinggang kanak-kanak - satu lagi pencapaian penting dalam usaha kami mencapai kecemerlangan klinikal," katanya.
Beliau berkata, SMC juga sentiasa meningkatkan keupayaan dalam disiplin klinikal dewasa lain termasuk kardiologi, onkologi, neurologi, gastroenterologi dan pembedahan ortopedik.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SMC, Dr Seow Vei Ken berkata, pengiktirafan ini mengukuhkan lagi komitmen hospital terhadap kecemerlangan klinikal dan penjagaan berfokuskan pesakit, khususnya dalam perkhidmatan pediatrik.
"Sunway Medical Centre terus berada di hadapan sebagai penyedia perkhidmatan pediatrik swasta terbaik di Malaysia dengan ekosistem penjagaan kanak-kanak yang lengkap dan tersusun," katanya.
Beliau turut mengetengahkan keupayaan Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) hospital itu yang dilengkapi 17 katil dan dikendalikan oleh tiga pakar intensivis pediatrik serta jururawat berpengalaman sepanjang masa.
Senarai APAC terbitan Newsweek memberi pengiktirafan kepada hospital terkemuka dalam pelbagai bidang di 10 negara termasuk Malaysia, Australia, India, Indonesia, Jepun, Singapura, Korea Selatan, Taiwan, Thailand dan Filipina.
Pengiktirafan ini hadir susulan pencapaian SMC sebagai hospital nombor satu di Malaysia serta tersenarai antara 250 hospital terbaik dunia dalam senarai Hospital Terbaik Dunia 2025 dan Hospital Swasta Terbaik Asia 2025 oleh penerbit yang sama.
Selain itu, SMC turut menerima anugerah berprestij 'Hospital Terbaik (Malaysia)' pada Healthcare Asia Awards 2025, menjadikannya kemenangan empat tahun berturut-turut bagi kategori tersebut.
-- BERNAMA
#SMC #Hospital #rawatan kesihatan #Newsweek #pediatrik