SMK Jalan Kota Tinggi dekat Kluang ditutup kerana COVID-19

Bernama
November 7, 2020 07:11 MYT
Pelajar lelaki berkenaan dan tiga anggota keluarganya disahkan positif COVID-19 oleh Hospital Kota Tinggi selepas menjalani ujian swab pada 5 Nov lepas. - Gambar hiasan
JOHOR BAHRU: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Kota Tinggi dekat Kluang ditutup mulai hari ini sehingga 13 Nov berikutan seorang daripada pelajar tingkatan satu sekolah itu didapati positif jangkitan COVID-19.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor Mazlan Bujang berkata penutupan itu dibuat bagi tujuan pelaksanaan kerja-kerja pembersihan dan pembasmian kuman di seluruh bangunan sekolah.
BACA: COVID-19: Ikea Damansara ditutup sehari, pekerja sambilan disyaki dijangkiti
Beliau berkata pelajar lelaki berkenaan dan tiga anggota keluarganya disahkan positif COVID-19 oleh Hospital Kota Tinggi selepas menjalani ujian swab pada 5 Nov lepas di Pejabat Kesihatan Daerah Kota Tinggi, dan terdahulu, mereka dikatakan telah melawat ahli keluarga yang sedang sakit di hospital terbabit.
"Ini bermakna jangkitan berlaku di hospital, semasa melawat keluarga yang sakit. Selain empat sekeluarga ini, seorang saudara mereka turut disahkan positif COVID-19 setelah mendapat jangkitan dari sumber yang sama," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas melancarkan Projek Perumahan Dahlia yang dibangunkan United Malayan Land Bhd (UMLand) di Jalan Seri Austin, Taman Seri Austin, di sini hari ini.
Sehubungan penutupan itu, Mazlan berkata semua guru harus bekerja dari rumah dengan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran berdasarkan kesesuaian serta keupayaan akses komunikasi kepada murid sepanjang tempoh sekolah itu ditutup.
Semalam, tular di media sosial mengenai sepucuk surat arahan penutupan sekolah berkenaan daripada Jabatan Pendidikan Negeri.
-- BERNAMA
#SMK Jalan Kota Tinggi #tutup sekolah #Kluang Johor #COVID-19