Sokong Gaza: Ahli parlimen Britain nyatakan sokongan kepada Azizulhasni melalui Twitter

Haider Yutim
Julai 27, 2014 06:56 MYT
George Galloway turut menentang Perang Teluk di Iraq pada tahun 1991.
Seorang anggota parlimen Britain menyatakan sokongannya terhadap jaguh berbasikal trek negara Azizulhasni Awang yang memakai sarung tangan tertera slogan 'Save Gaza' pada pusingan pertama acara pecut individu Sukan Komanwel Khamis lalu.
Ahli parlimen Bradford West, George Galloway menyuarakan sokongan tersebut menerusi laman Twitternya hari ini dengan memuatnaik gambar Azizul memakai sarung tangan tersebut.
Dalam Twitternya itu beliau meminta supaya penganjur Sukan Komanwel tidak mengambil tindakan 'bodoh' dengan menghukum Azizul.
"Saya harap pihak berkuasa Sukan (Komanwel) tidak akan bertindak bodoh untuk cuba menghukum pelumba wira dari Malaysia ini," katanya sambil menambah hashtag #Gold4Courage.
Hashtag #Gold4Courage tersebut juga menjadi trending di laman Twitter di London sebentar tadi.

I do hope the Games authorities won't be so stupid as to try and punish this Malaysian cyclist hero #Gold4Courage pic.twitter.com/HdraXrCkRs

— George Galloway (@georgegalloway) July 26, 2014
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Selain sokongan terhadap Azizul, Galloway juga merupakan seorang aktivis anti-peperangan dan secara lantang menyuarakan sokongan terhadap Palestin.
Beliau juga tidak takut menyatakan kebenciannya terhadap Zionis. Ini terbukti apabila pada tahun 2013, Galloway telah meninggalkan sebuah sesi debat selepas mengetahui lawannya itu dari Israel.
Anggota parti Respect itu juga pernah melancarkan serta menyertai konvoi ke Gaza pada tahun 2009 berikutan serangan yang dibuat oleh Israel terhadap wilayah tersebut pada ketika itu, yang turut disertai oleh ratusan sukarelawan.
Tindakan memakai sarung tangan 'Save Gaza' oleh Azizul telah menjadi perbualan pelbagai pihak di Glasgow itu dan mendapat kritikan dari Persekutuan Sukan Komanwel (CGF).
Mereka memberi amaran kepada Azizul kerana sarung tangan yang dipakai itu berbaur protes politik.
Jurucakap kejohanan itu juga telah meminta Ketua Kontinjen untuk membuat laporan sebelum sebarang tindakan diambil ke atas Azizul.
Bergelar “the pocket rocketman”, Azizul bagaimanapun, menegaskan dia tidak langsung terganggu dengan amaran tersebut.
#Azizulhasni Awang #George Galloway #Save Gaza #sokong gaza #sukan komenwel