Sokong PKP dilanjutkan, PH gesa bantuan RM500 dinaik kepada RM2,000, moratorium kepada M40

Fareez Azman
Jun 13, 2021 05:50 MYT
Jawatankuasa Kos Sara Hidup Pakatan Harapan mencadangkan lima pakej bantuan kepada kerajaan dalam membantu meringankan beban rakyat terkesan akibat PKP 3.0.
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kos Sara Hidup Pakatan Harapan (PH) menggesa kerajaan agar menaikkan bantuan one-off daripada RM500 kepada RM2,000 serta moratorium tiga bulan kepada golongan M40 berikutan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 fasa kedua bermula 15 sehingga 28 Jun ini.
Gabungan berkenaan yang menyokong keputusan kerajaan melanjutkan PKP 3.0 fasa kedua menegaskan, ketika kes harian COVID-19 masih tinggi, pakej bantuan untuk rakyat seharusnya bersifat menyeluruh.
"Kita boleh bersetuju dengan perlanjutan ini kerana kes yang dilaporkan masih tinggi iaitu setiap hari tidak kurang dari 5,000 kes.
"Namun, pakej bantuan kepada rakyat yang terkesan dan menyeluruh mesti diberikan iaitu bantuan one-off RM500 (pendapatan bawah RM2,500.00) atau RM300 (RM2,500.00-RM5,000.00) masih terlalu kecil dan hanya menerima bantuan tersebut pada hujung bulan ini.
"Cadangan jawatankuasa adalah pemberian bantuan one-off mesti dipercepatkan dan dinaikkan ke RM2,000.00 dan RM1,500.00 masing-masing," kata Jawatankuasa Kos Sara Hidup PH dalam kenyataan media yang diedarkan pada Ahad.
Malaysia melaksanakan perintah sekatan penuh PKP 3.0 atau 'total lockdown' bermula 1 hingga 14 Jun dan disambung ke fasa kedua pada 15 hingga 28 Jun ini selepas kerajaan mengambil kira jumlah kes harian yang melebihi 5,000 kes sehari.
Sementara itu, cadangan jawatankuasa itu bahawa moratorium selama tiga bulan kepada M40 wajar dipertimbangkan kerajaan adalah kerana golongan itu turut terjejas teruk.
Kata jawatankuasa itu, cadangan pemberian moratorium pinjaman bank selama tiga bulan kepada M40 itu juga telah dipersembahkan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini.
Dalam masa sama, jawatankuasa berkenaan juga menggesa subsidi upah dilanjutkan ke tiga bulan bagi memastikan bantuan diberi kepada Industri Kecil dan Sederhana (SME) sekali gus mengelakkan tenaga kerja hilang pekerjaan.
“Turut dicadangkan subsidi atau rebat oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebanyak 30 peratus untuk pengguna domestik sepanjang tempoh PKP.
“Penggunaan tenaga elektrik dijangka meningkat dalam tempoh PKP kerana rata-rata rakyat berada di rumah seperti disarankan kerajaan,” jelas Jawatankuasa Kos Sara Hidup PH lagi.
Dalam pada itu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), kata jawatankuasa tersebut, perlu lebih bertanggungjawab dalam memberikan kelulusan jenis perniagaan yang layak beroperasi sepanjang PKP 3.0
"MITI sewajarnya lebih bertanggungjawab dalam memberikan kelulusan kepada jenis-jenis perniagaan yang layak beroperasi sepanjang PKP 3.0.
"Telah berlaku insiden di mana terlalu banyak kelonggaran diberikan kepada pelbagai jenis perniagaan untuk beroperasi, iaitu lebih daripada 17 sektor yang dibenarkan.
"Keadaan ini tidak membantu, malahan merencatkan usaha untuk melandaikan lengkuk pandemik COVID-19," jelas kenyataan itu lagi.
#Pakatan Harapan #TNB #MITI #subsidi #COVID-19 #pandemik #perintah kawalan pergerakan #PKP #Moratorium #bantuan #rakyat