Sokong usaha koridor ekologi, orang utan perlukan keprihatinan kita sekarang!

Hamzah Hamid
Ogos 19, 2020 07:33 MYT
Masa depan spesies istimewa ini terletak pada usaha kita hari ini. - Foto: WWF Malaysia/Edwin Matulin
CORAK pergerakan orang utan di negara ini yang menghala ke kawasan yang lebih sejuk adalah suatu petunjuk nyata dan perlu diberi perhatian.
Kajian menunjukkan bahawa banyak hidupan liar termasuk orang utan terpaksa beradaptasi dengan habitat baharu, khususnya di kawasan yang beriklim lebih sejuk.
Petanda itu mengiyakan lagi hakikat bahawa kita sedang mengalami isu pemanasan global, yang punca utamanya adalah aktiviti tebus guna kawasan dan kemerosotan hutan.
“Di Sabah misalnya, pergerakan itu merujuk kepada perpindahan dari hutan tanah rendah di sebelah timur ke bahagian barat.
“Ini sangat penting bagi hidupan liar dan koridor ekologi perlu dibangunkan untuk membolehkan pergerakan ini. Tanpa koridor hidupan liar, populasi orang utan akan terperangkap di hutan tanah rendah yang hangat, seterusnya berdepan kepupusan,” ujar Pengurus Konservasi Orang Utan, WWF Malaysia, Donna Simon.
Tambahnya, kemusnahan hutan semulajadi dan ketiadaan sumber makanan yang betul adalah sebahagian daripada ancaman yang dihadapi oleh orang utan di negara ini.
“Populasi orang utan liar memerlukan sumber yang betul iaitu bagi mendapatkan pelbagai jenis buah dan pucuk daun untuk terus hidup. Kita tahu bahawa mawas ini hanya boleh hidup di kawasan rendah – di mana tanahnya subur selain terdapat sumber air yang meyokong penghasilan makanan – atau ada jenis hutan tertentu dengan musim buah dan daun yang berbeza-beza,” jelas Donna.
Pemusnahan hutan semula jadi akibat pembangunan dan perladangan, menurut Donna, telah menyebabkan orang utan kehilangan habitat seterusnya pemisahan populasi spesies tersebut. Itu akan menyebabkan ada kelompok orang utan yang tinggal dalam situasi terpencil.
Donna memberi amaran, jika kesalinghubungan antara kawasan itu tidak dijaga, tidak mustahil beberapa populasi orang utan terpencil ini akan mati akibat kekurangan variasi genetik.
Kepentingan koridor ekologi
Oleh kerana itulah, koridor ekologi memainkan peranan penting demi kelangsungan hidup orang utan Borneo.
Kajian menyeluruh WWF-Malaysia telah menemui banyak habitat yang didiami orang utan kini mengalami kemerosotan, dan kawasan-kawasan itu sangat memerlukan usaha pemuliharaan untuk menyokong pergerakan hidupan liar dan mengelakkan risiko pemencilan.
Menurut Pengurus Pemuliharaan dan Kesalinghubungan Habitat, WWF Malaysia, Fredinand Lobinsiu, koridor ekologi merujuk kepada kawasan yang memberi kesalinghubungan habitat bagi populasi hidupan liar terpencil yang terperangkap dalam blok-blok hutan dan kawasan guna semula.
“Koridor-koridor yang menghubungkan blok-blok hutan ini membolehkan orang utan bergerak dan mengawan dengan kumpulan populasi berbeza. Ini akan mencetus kesinambungan genetik antara populasi dan mengurangkan kes pembiakan tertutup. Demi kelangsungan, kewujudan koridor itu meningkatkan ruang kawasan untuk orang utan mencari makanan dan perlindungan,” jelas Fredinand atau Fordy.
Selain itu, menurutnya, koridor ekologi penting bagi orang utan kerana ia mampu meningkatkan peluang spesies itu beradaptasi terhadap impak perubahan iklim. Maka, adalah penting bagi koridor-koridor itu terhubung antara kawasan rendah dan panas ke kawasam tinggi dengan suasana yang lebih dingin.
“Kajian menunjukkan bahawa akibat pemanasan global, orang utan akan mengalami perubahan perilaku, dan perlu berpindah ke kawasan yang lebih tinggi,” kata Fordy.
Tambahnya, selain perubahan iklim itu sendiri, antara cabaran yang dihadapi dalam usaha tersebut adalah peralihan cuaca (yang menentukan tempoh penanaman benih pokok untuk sumber makanan orang utan), dan gangguan hidupan liar lain yang merosakkan anak pokok (sekali gus menjejaskan kitaran kesuburan tanah).
Kerja pemuliharaan berterusan
Ternyata, usaha pemuliharaan hutan secara berterusan sangat perlu diutamakan, bukan sahaja untuk mengawal perubahan iklim, malah untuk memperbaiki habitat hidupan liar yang mengalami kemerosotan. Ia juga sangat kritikal untuk menjadi ‘jambatan’ yang menghubungkan antara dua atau lebih kawasan hutan yang terpisah seterusnya menghasilkan koridor ekologi tersebut.
Bayangkan sahaja, kesemua pokok-pokok di hutan yang tumbuh membesar itu sebagai perangakap karbon yang menyerap karbon dioksida serta membebaskan oksigen semula. Menerusi proses fotosintesis, klorofil menggunakan cahaya matahari dan mengurangkan kesan panas pada persekitaran.
Secara keseluruhan, hutan yang dipulihara bertindak sebagai takungan karbon dan menjadi paru-paru hijau untuk bumi ini.
Bagi WWF Malaysia, antara rekod kejayaan yang terbaik adalah usaha yang dilakukan di Bukit Piton di Lahad Datu, Sabah. Ia awalnya adalah hutan yang menjadi habitat orang utan namun berdepan kemerosotan.
Usahasama antara WWF-Malaysia, Jabatan Perhutanan Sabah dan juga pelbagai entiti swasta telah membuahkan hasil. Hutan yang dipulihara adalah kunci kepada kelangsungan hidup orang utan.
Sepanjang proses itu, WWF Malaysia telah mendokumentasi orang utan yang memanfaatkan pokok-pokok yang ditanam semula untuk dijadikan makanan dan perlindungan, selain menyaksikan kelahiran lebih banyak anak orang utan.
Apa yang setiap individu boleh lakukan untuk membantu?
  • Sentiasa awas dan peduli. Laporkan pada Jabatan Hidupan Liar Sabah jika mendapat tahu tentang penjkualan dan pembelian hidupan liar yang biasanya dijual dalam potongan bahagian tertentu. Ini termasuk dan tidak terhad kepada orang utan, gajah, tenggiling dan beruang matahari.
  • Gunakan produk Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) dan Majlis Pengawasan Hutan (FSC) yang berdaftar, dan sebarkan maklumat itu.
  • Sumbangkan derma menerusi https://www.wwf.org.my/how_you_can_help/donate_now/
  • WWF-Malaysia sekarang ini menjalankan projek konservasi yang bertujuan melindungi hutan, sungai dan laut selain menyelamatkan spesies terancam seperti harimau, gajah dan orang utan.

    ** Hari Orang Utan Antarabangsa disambut pada 19 Ogos setiap tahun.

    #hari orang utan sedunia #hidupan liar #konservasi #Malaysia #Orang Utan #pemanasan global #perubahan iklim #WWF Malaysia