[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
MALAYSIA

Sokongan terhadap usahawan wanita kunci pertumbuhan ekonomi terangkum - Hanifah Hajar

Bernama 25/11/2025 | 14:15 MYT
Hanifah Hajar berkata pada masa ini, wanita merupakan kira-kira 35 peratus daripada tenaga kerja Malaysia yang jauh lebih tinggi berbanding purata di kebanyakan peringkat global. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Kalangan wanita perlu diiktiraf sebagai inovator serta pemimpin, malahan sebarang usaha peningkatan kemahiran digital dan sokongan ekosistem industri dapat memacu penglibatan mereka dalam sektor pertumbuhan tinggi selain memainkan peranan penting dalam kemajuan teknologi Malaysia.


Ringkasan AI
  • Wanita perlu diiktiraf sebagai inovator dan pemimpin; peningkatan kemahiran digital dan sokongan industri boleh memacu penglibatan mereka dalam sektor pertumbuhan tinggi.
  • Wanita menyumbang 35% tenaga kerja Malaysia; perniagaan milik wanita mewakili 20.1% syarikat yang menggaji hampir sejuta orang, terutama dalam sektor perkhidmatan.
  • Program dan inisiatif seperti Pembangunan Usahawan Wanita Dalam Eksport oleh MATRADE dan MySMELady 2.0 oleh SME Bank Malaysia memudahkan pembiayaan dan akses digital bagi perusahaan mikro, kecil, dan sederhana yang diterajui oleh wanita.


Ketika menekankan perkara itu, Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib berkata pada masa ini, wanita merupakan kira-kira 35 peratus daripada tenaga kerja Malaysia yang jauh lebih tinggi berbanding purata di kebanyakan peringkat global.

"Perniagaan milik wanita misalnya mewakili 20.1 peratus daripada kesemua syarikat di Malaysia yang menggaji hampir sejuta orang, terutama sektor perkhidmatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Kepimpinan We2025: Future In Motion : Women In Trade, Investment, Leadership (Wanita dalam Perdagangan, Pelaburan, Kepimpinan) -- platform yang menumpukan usaha pemerkasaan wanita dalam peranan perdagangan, pelaburan sert kepimpinan di sini, hari ini.

Menjelaskan selanjutnya, Hanifah Hajar berkata Malaysia juga merupakan sebuah negara dagang yang kemakmurannya banyak bergantung kepada sejauh mana kemampuan firma-firma Malaysia dihubungkan dengan rantaian nilai global.

"Keusahawanan wanita adalah pemacu pertumbuhan terangkum dan kekuatan ini sewajarnya turut dihubungkan dengan peluang di peringkat global," katanya.

Beliau berkata dalam usaha memastikan sokongan berterusan kepada usahawan wanita, ekosistem perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Malaysia juga semakin berkembang dan lebih terarah kepada berorientasikan eksport.

Bagaimanapun, Hanifah Hajar mengingatkan wanita kekal berdepan cabaran, terutama dari segi akses pembiayaan, penerimagunaan digital, akses pasaran serta kesalinghubungan global.

Justeru, katanya, menerusi inisiatif seperti Program Pembangunan Usahawan Wanita Dalam Eksport oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Program Pemerkasaan Eksport oleh SME Corporation Malaysia selain skim seperti MySMELady 2.0 di bawah SME Bank Malaysia menyaksikan pelbagai usaha sedang dilaksanakan bagi membina keupayaan eksport, meluaskan akses digital dan memudahkan pembiayaan untuk PMKS yang diterajui oleh wanita.

Kesemua inisiatif ini juga sejajar dengan keutamaan Rancangan Malaysia Ke-13 dalam menggalakkan pertumbuhan secara terangkum.

"Pemerkasaan ekonomi ini memerlukan lebih daripada sekadar kemahiran dan peluang. Ini mengutamakan ekosistem pemerkasaan yang mana akses pengangkutan, keselamatan awam, prasarana digital, perkhidmatan penjagaan kesihatan, ketersambungan jalur lebar, ruang awam yang selamat serta infrastruktur responsif terhadap gender yang berperanan penting.

"Malaysia akan terus mengembangkan sistem ini bagi mengurangkan halangan dan mewujudkan persekitaran yang menyumbang kepada kemajuan wanita dan merentasi semua aspek ekonomi, daripada komuniti di pusat bandar hingga ke luar bandar," katanya.

Acara We2025: Future In Motion : Women In Trade, Investment, Leadership yang berlangsung pada 25 hingga 27 November itu dianjurkan oleh Qube Integrated Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta disokong oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI); MATRADE dan Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB).

-- BERNAMA



#KPWKM #MITI #usahawan #Matrade