Solat Jumaat pertama Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri

Hilmi Malik
November 25, 2022 06:26 MYT
Datuk Seri Anwar Ibrahim dikerumuni jemaah selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Putra, Putrajaya, hari ini. - Gambar Astro AWANI
PUTRAJAYA : Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan solat Jumaat di Masjid Putra, di sini, hari ini.
Perdana Menteri yang tiba di Masjid Putra pada pukul 1.01 tengah hari disambut oleh beberapa Ahli Jawatankuasa masjid serta jemaah.
Ini merupakan kehadiran sulung Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10 selepas mengangkat sumpah semalam.
Bacaan khutbah dan solat Jumaat dipimpin oleh Imam Besar Masjid Putra, Ustaz Salahuddin Ghozali.
Khutbah Jumaat hari ini menyentuh mengenai tanggungjawab yang perlu dipikul terhadap seorang pemimpin yang telah dipilih.
Sebaik selesai menunaikan solat Jumaat, Perdana Menteri turut meluangkan masa bersalaman dengan kira-kira 3,000 jemaah yang sebilangan besar terdiri daripada kakitangan kerajaan dan orang awam.
Laungan ‘reformasi’ turut dilaungkan semasa Anwar keluar dari masjid.
Turut menunaikan solat Jumaat di masjid tersebut ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Sebelum itu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menikmati makan tengah hari di Medan Selera Presint 8, di sini, serta mengambil kesempatan beramah mesra dengan pengunjung lain.
#Anwar Ibrahim #Anwar Ibrahim PM ke-10 #Anwar tunai solat Jumaat #Masjid Putra