[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
MALAYSIA

Solidariti dengan Haresh Deol, Majlis Media Malaysia percaya pihak berkuasa ambil langkah sewajarnya

Firdaus Azil 25/11/2025 | 11:21 MYT
Majlis Media Malaysia (MMM) menegaskan keselamatan petugas media adalah asas ekosistem media bebas, susulan serangan terhadap Timbalan Presiden NPC Haresh Deol.
KUALA LUMPUR: Keselamatan petugas media adalah asas kepada kewujudan ekosistem media yang bebas dan bertanggungjawab, tegas Majlis Media Malaysia (MMM), susulan serangan dua individu terhadap Timbalan Presiden Kelab Media Nasional (NPC) Haresh Deol baru-baru ini.


Ringkasan AI
  • Keselamatan petugas media adalah asas kepada kewujudan ekosistem media yang bebas dan bertanggungjawab, tegas Majlis Media Malaysia (MMM) susulan serangan terhadap Timbalan Presiden Kelab Media Nasional (NPC) Haresh Deol.
  • MMM menekankan kepentingan menghormati ruang kerja wartawan untuk mengelakkan tindakan yang boleh mengancam keselamatan mereka serta implikasi terhadap penyampaian maklumat yang tepat dan bebas tekanan kepada masyarakat.
  • MMM mengutuk insiden serangan terhadap Haresh Deol dan menyeru pihak berkuasa untuk bertindak adil dan profesional, sambil menggesa orang ramai agar tidak membuat spekulasi yang tidak perlu sementara menunggu hasil siasatan.


Dalam satu kenyataan pada Selasa, majlis itu berkata, semua pihak digesa untuk menghormati ruang kerja wartawan serta mengelakkan tindakan yang boleh menjejaskan keselamatan mereka.

Insiden yang menghalang tugas kewartawanan, tegasnya lagi, mempunyai implikasi terhadap kepentingan awam, kerana ia menjejaskan penyampaian maklumat yang tepat dan bebas tekanan kepada masyarakat.

“MMM percaya pihak berkuasa akan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan fakta kejadian dikenal pasti, dan keadaan dapat ditangani secara adil serta profesional.

“Sebagai badan kawal selia kendiri industri media, MMM komited untuk terus mempromosikan standard keselamatan, profesionalisme dan integriti dalam sektor media.

“Kami turut bersolidariti dengan Haresh Deol serta seluruh komuniti wartawan yang terus berkhidmat demi kebenaran dan kepentingan rakyat,” menurut kenyataan itu lagi.

MMM juga menggesa agar orang ramai tidak membuat spekulasi yang tidak perlu sementara menunggu hasil siasatan sedemikian.

Awal hari ini, Pengarang Urusan Twentytwo13, yang juga pengulas sukan tanah air, itu mendakwa diserang dua individu yang tidak dikenali, ketika di Bangsar, Kuala Lumpur.

Dalam perkongsian ringkas di laman media sosialnya, pengamal media itu, yang terkenal atas kelantangan beliau mengecam ‘skandal’ yang dikaitkan dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), telah diserang dengan salah seorang daripada dua individu tersebut merakam serangan tersebut.

Haresh berkata, beliau telah membuat laporan polis berhubung insiden berkenaan.

Dalam pada itu, MMM berkata ia memandang serius laporan mengenai insiden terebut, selain bimbang terhadap sebarang bentuk keganasan atau intimidasi terhadap petugas media.

“Tindakan sedemikian, tanpa mengira motif, mencetuskan implikasi lebih luas terhadap kebebasan media dan kemampuan wartawan menjalankan tugas secara bebas, selamat dan beretika,” tegasnya lagi.







#Haresh Deol diserang #skandal FAM #Majlis Media Malaysia #pemain warisan