KUALA LUMPUR: Kerajaan Sabah akan menilai prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan sedia ada bagi memastikan ia relevan dengan keadaan situasi semasa COVID-19 di negeri itu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, SOP dan garis panduan itu akan diubah mengikut keadaan serta keperluan.

Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan Sabah berkaitan COVID-19 menegaskan, semua pihak diingatkan tidak panik dengan peningkatan kes di negeri itu sejak kebelakangan ini.

"Dengan adanya jangkitan dalam komuniti secara tidak langsung kes akan meningkat. Dengan itu, pengesanan kontak rapat perlu diperluas bagi mengawal penularan COVID-19," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Terdahulu, Masidi dalam kenyataan menerusi aplikasi Whatsapp, memaklumkan kes positif harian tertinggi di Sabah sepanjang minggu ini iaitu 818 kes.

Katanya, sembilan daerah mencatat kes baharu melebihi 35 seperti Papar (37), Tuaran (44), Beluran (44), Tawau (55), Sipitang (57), Beaufort (66), Keningau (69), Penampang (77) dan Kota Kinabalu (167).

"Penyumbang utama kes berjumlah 364 kes adalah daripada saringan kontak rapat, diikuti tambahan kes dari kluster sedia ada dengan 148 kes.

"Sarıngan bersasar 104 kes dengan daerah Kunak mencatatkan jumlah tertinggi saringan bersasar iaitu 23 kes. Manakala sarıngan bergejala menyumbang 103 kes," katanya.

Beliau berkata, terdapat enam kluster baharu direkodkan iaitu, Kluster Gipan Kolombong Kota Kinabalu (tempat kerja), Kluster Tinabau Kinabatangan (tempat kerja), Kluster Sogo-Sogo Tongod (komuniti), Kluster Jalan Tungku Lahad Datu (komuniti), Kluster Simpang 3 Ranau (tempat kerja) dan Kluster Gerbang Kauran Keningau (komuniti/aktiviti keagamaan).